Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datin Seri Wan Azizah. - FOTO AP
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datin Seri Wan Azizah. - FOTO AP
BERNAMA

Kuala Lumpur: CGS-CIMB Research telah menaikkan unjuran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bagi akhir tahun 2022 kepada 1,602 mata daripada 1,484 mata berikutan ketidakstabilan politik yang semakin reda dan pasaran pula dijangka memberi tindak balas positif kepada kerajaan yang baharu dibentuk.

Pada Khamis, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10, sekali gus menamatkan kebuntuan politik selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

Dalam satu nota, firma penyelidikan itu berkata pasaran memperlihatkan dagangan cergas selepas situasi parlimen tergantung selesai dan seterusnya pembentukan kerajaan perpaduan.

Selain itu, pelabur asing juga berpotensi untuk kembali ke pasaran berdasarkan jangkaan politik yang lebih stabil di dalam negara.

Bagaimanapun, ia berkata tertakluk kepada butiran lanjut mengenai struktur kerajaan perpaduan, kemungkinan terdapat kebimbangan terhadap potensi pakatan disebabkan oleh ideologi yang berbeza.

"Kami menaikkan unjuran sasaran FBM KLCI akhir 2022 kami kepada 1,602 mata daripada 1,484 mata berdasarkan 13.8 kali harga/pendapatan hadapan," katanya.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) turut meningkatkan sasaran FBM KLCI akhir tahun 2022 kepada 1,530 mata berbanding 1,470 mata sebelum ini memandangkan risiko politik jangka pendek telah berkurangan.

Namun begitu, Public Bank Investment Bhd pula mengekalkan unjuran KDNKnya dalam julat 7.0 peratus hingga 8.0 peratus pada 2022 dan 3.5 peratus hingga 4.5 peratus pada 2023.

"Kami percaya kerajaan baharu berkemungkinan mengekalkan julat unjuran pertumbuhan KDNK sebenar pada 4.0 peratus dan 5.0 peratus pada 2023, sejajar dengan unjuran rasmi Bank Negara Malaysia, berbanding unjuran kami.

"Melangkah ke 2023, walaupun terdapat ketidaktentuan luaran, kami menjangkakan ekonomi Malaysia masih bergantung lebih kepada pertumbuhan yang dijana secara dalaman, terutamanya daripada penggunaan swasta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 1:26 PM