NOH ketika sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Perkhidmatan Pelajaran Nasional Berhad (KOPENAS) Kali Ke-36 Tahun 2022. FOTO BERNAMA
NOH ketika sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Perkhidmatan Pelajaran Nasional Berhad (KOPENAS) Kali Ke-36 Tahun 2022. FOTO BERNAMA
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan melantik perunding bagi memastikan Koperasi Rakyat BR2.0 Malaysia Berhad (BR 2.0) dapat dilaksanakan secara sistematik.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata, lantikan perunding bagi memastikan saham koperasi yang bakal ditubuhkan itu dapat diagih mengikut kuota kepada golongan B40, M40 dan lain-lain golongan yang berhak.

"Matlamat BR2.0 adalah untuk memberi peluang kepada kumpulan-kumpulan ini (untuk memiliki saham) yang mana kita akan beri kuota dan ia tidak boleh dimonopoli oleh golongan elit tertentu.

"Justeru, berdasarkan arahan kabinet, kita akan melantik perunding untuk mendalami pelaksanaannya (BR 2.0)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Koperasi Perkhidmatan Pelajaran Nasional Berhad (Kopenas) di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata, kerajaan secara dasar menyokong penubuhan BR 2.0, sebuah entiti koperasi yang baharu ditubuhkan di bawah Akta Koperasi 1993 (Akta 502) dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Katanya, BR 2.0 dijangka memainkan peranan lebih besar membantu membangunkan sektor koperasi serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Mengenai peruntukan RM100 juta bagi pembabitan dalam industri agromakanan, Noh berkata, keutamaan adalah kepada koperasi yang sudah lama bergiat dalam industri itu.

"Kita akan membantu koperasi yang aktif dalam industri makanan seperti ayam dan lain-lain untuk mereka menambah modal, melalui Tabung Pusingan Modal di bawah SKM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2022 @ 4:26 PM