ISMAIL Sabri ketika hadir ke Majlis Sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan 2022 (BKK22) hari ini. FOTO BERNAMA
ISMAIL Sabri ketika hadir ke Majlis Sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan 2022 (BKK22) hari ini. FOTO BERNAMA
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Kerajaan mengumumkan peruntukan berjumlah RM100 juta di bawah Tabung Agromakanan untuk membantu melonjakkan peratusan jaminan keselamatan makanan negara khususnya bekalan ayam pada harga yang stabil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan bersetuju bantuan Tabung Agromakanan yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) akan diperluaskan kepada koperasi yang terbabit dalam sektor ini.

"Dengan ini, sejumlah RM100 juta peruntukan di bawah Tabung Agromakanan akan diletakkan di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi membantu koperasi mengembangkan industri agromakanan khususnya penternakan ayam.

"Kerajaan berharap langkah ini akan membantu koperasi meningkatkan pengeluaran makanan, seterusnya mengurangkan masalah kenaikan harga barang yang memberi impak yang besar kepada rakyat Keluarga Malaysia khususnya dalam kalangan B40.

"Kerajaan juga menaruh keyakinan bahawa sektor koperasi dapat memainkan peranan penting dalam membantu Kerajaan melonjakkan peratusan jaminan keselamatan makanan negara," katanya ketika memberikan ucapan perasmian Majlis Sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan 2022 (BKK22), sebentar tadi.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Beliau berkata, kerajaan pada dasarnya bersetuju terhadap penubuhan bank digital dan masih berunding dengan Kementerian Kewangan serta Bank Negara Malaysia (BNM) supaya Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menjadi rakan kongsi terhadap salah satu syarikat bank digital yang diberikan kelulusan.

Katanya, perkara itu masih dirundingkan lagi supaya ekuiti syarikat berkenaan dibuka kepada Angkasa dan kerajaan akan terus berunding sehingga berjaya direalisasikan.

Pada masa sama, Ismail turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju dengan hasrat Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk menubuhkan Koperasi Rakyat BR2.0 Malaysia Berhad yang akan dikenali sebagai BR2.0.

Beliau berkata, BR2.0 adalah satu entiti koperasi yang baharu yang akan ditubuhkan di bawah Aka Koperasi 1993 (Akta 502) dan akan dikawal selia oleh SKM.

Menurutnya, KUSKOP yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pembangunan koperasi akan menyediakan hala tuju dan khidmat nasihat bagi memastikan BR2.0 ditadbir secara cekap dan seterusnya member manfaat kepada anggotanya.

"Penubuhan BR2.0 adalah alternatif pelaburan untuk rakyat, terutamanya golongan B40 dan M40 untuk melabur dan memiliki syer dalam koperasi sepertimana di Bank Rakyat dengan jangkaan pulangan yang baik.

"Selain itu, BR2.0 juga dijangka dapat memainkan peranan yang lebih bear dalam membantu membangunkan sektor koperasi serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

"Dalam berhadapan dengan pelbagai situasi yang mencabar baru-baru ini seperti Covid-19, banjir dan kos kenaikan harga barang, Kerajaan akan sedaya upaya membantu koperasi dan usahawan meningkatkan aktiviti jualan mereka," katanya.

Ismail berkata, kerajaan bersetuju untuk menyediakan peruntukan khusus sejumlah RM10 juta kepada KUSKOP bagi membiayai penganjuran aktiviti kolaborasi strategik bersama dengan persatuan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti penganjuran pameran dan ekspo.

"Kerajaan juga prihatin dengan isu bagi mendapatkan pekerja asing yang dihadapi oleh koperasi yang terlibat dengan sektor perladangan.

"Justeru, kerajaan bersetuju koperasi-koperasi juga diberi kuota pekerja asing supaya urusan perladangan dapat berjalan dengan lancar.

"Dalam hal ini, Kementerian Sumber Manusia akan memudahcara permohonan koperasi melalui proses secara manual sekiranya terdapat kekangan dengan sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMC)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 6:12 PM