REKAAN elegan dan minimalis pada beg Lima Hotel Romeo.
REKAAN elegan dan minimalis pada beg Lima Hotel Romeo.
Nurul Husna Mahmud


KOLABORASI unik antara industri penerbangan Malaysia, Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) dengan penggiat fesyen menerusi satu jenama tempatan,THESELINA dizahirkan pada rekaan lima beg tangan berasaskan barangan kitar semula.

Menariknya kerjasama unik itu bersandarkan inisiatif menyokong kempen global ke arah pembebasan karbon sifar dan tidak lupa menekankan elemen rekaan mewah di sebalik idea bermotifkan unsur lestari berkenaan.

Malah kod IATA ke destinasi dalam rangkaian Malaysia Airlines turut disertakan sebagai nama unik bagi setiap beg iaitu beg bimbit Lima Hotel Romeo (LHR), beg kanvas peribadi Sierra Yankee Delta (SYD), beg kiriman (messenger bag) November Romeo Tango (NRT), beg etnik Penan Mike Yankee Yankee (MYY) dan beg galas Mike Echo Lima (MEL).

Pemangku Ketua Pegawai Kelestarian MAG dan Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Philip See berkata, pihaknya selaku syarikat penerbangan nasional negara perlu menyertai dalam usaha murni memelihara alam sekitar.

"Kemampanan lestari antara pemacu utama dalam Pelan Perniagaan Jangka Panjang MAG 2.0 untuk menjadi syarikat penerbangan terkemuka Asia.

"Sebagai syarikat induk kepada Syarikat Penerbangan Nasional Malaysia Airlines, MAG mengambil inisiatif membantu ke arah menggalakkan pembangunan sosioekonomi dan mencapai komitmen untuk merekodkan pelepasan karbon bersih-sifar menjelang 2050.

REKAAN unik beg etnik Penan Mike Yenkee Yenkee yang turut mendapat sentuhan Selina.
REKAAN unik beg etnik Penan Mike Yenkee Yenkee yang turut mendapat sentuhan Selina.

"Ini termasuk meminimumkan kesan alam sekitar bermula dengan inisiatif positif bersama komuniti tempat MAG beroperasi, memastikan kecemerlangan dalam aspek keselamatan, memacu keuntungan untuk faedah pihak berkepentingan termasuk pekerja dan memastikan pematuhan dalam operasi organisasi mengikut dasar lestari mampan," katanya.

Tambah Philip, pihaknya melakukan usaha itu menerusi kerjasama dengan pereka tempatan, Selina Yeop Jr apabila mengeluarkan beg dengan mengitar semula beberapa barang atau bahan dalam pesawat.

"Kami berbangga untuk menunjukkan hasil daripada kerjasama kami dengan pereka penuh kreativiti, Selina dari THESELINA yang menggunakan bahan terpakai dalam pesawat untuk hasilkan koleksi beg ini.

ELEGAN meskipun menggunakan bahan terpakai daripada barang atau bahan dalam pesawat.
ELEGAN meskipun menggunakan bahan terpakai daripada barang atau bahan dalam pesawat.

"Antara bahan digunakan semula daripada tempat duduk kulit pesawat Malaysia Airlines termasuk tali pinggang keselamatan, alas meja, jaket keselamatan, seragam ikonik kru kabin (kebaya), beg tangan dan banyak lagi. Usaha ini secara tidak langsung mengurangkan pembaziran," katanya.

Kumpulan itu juga mengambil langkah berdaya maju untuk mengurangkan jejak karbon dalam operasi perniagaannya, berpandukan Pelan Tindakan Kelestarian MAG yang dilancarkan pada tahun lalu.

Ini termasuk pengkomposan bio sisa makanan dari penerbangan, mempertingkatkan langkah kecekapan bahan api, menggunakan semula bahagian pesawat yang sudah dilupuskan kepada produk baharu dan menjadi pesawat komersial pertama berdaftar Malaysia menggunakan Bahan Api Penerbangan Lestari (SAF).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 6:23 AM