BANK Negara Malaysia. FOTO Arkib NSTP
BANK Negara Malaysia. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bank-bank kini menyemak semula kadar rujukan mereka selepas Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 2.00 peratus daripada 1.75 peratus.

Dalam kenyataan pada Khamis, Affin Bank Bhd menjelaskan Affin Bank, Affin Islamic Bank Bhd dan Affin Hwang Investment Bank menyemak semula kadar rujukan pinjaman/pembiayaan masing-masing dengan kenaikan 25 mata asas berkuat kuasa 13 Mei, 2022.

Selaras dengan semakan itu, Kadar Semasa bagi Deposit Tetap Affin Bank dan Deposit Berjangka-iAffin Islamic Bank juga diselaraskan meningkat mulai 13 Mei.

Menurut Hong Leong Bank Bhd (HLB) dan Hong Leong Islamic Bank Bhd pula, kedua-dua bank menyemak semula kadar asas dan kadar asas Islam kepada 2.88 peratus daripada 2.63 peratus.

Pinjaman dan pembiayaan berasaskan kadar pinjaman asas dan kadar pembiayaan Islam akan disemak kepada 5.89 peratus daripada 5.64 peratus, berkuat kuasa 17 Mei, menurut kedua-dua bank itu dalam kenyataan berasingan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Domenic Fuda berkata, kadar yang disemak itu masih kompetitif untuk pelaburan dan penggunaan dalam merangsangkan ekonomi Malaysia, terutama bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan peminjam korporat yang ingin mengukuhkan dan mengembangkan perniagaan mereka.

Dalam kenyataan lain, Bank Islam Malaysia Bhd menjelaskan ia juga menyemak semula kadar asas dan kadar pembiayaan asas sebanyak 25 mata asas kepada 2.77 peratus dan 5.72 peratus, manakala kadar deposit bank itu juga diselaraskan meningkat sebanyak 25 mata asas berkuat kuasa mulai 17 Mei 2022.

"Kami menyedari cabaran berterusan yang dihadapi oleh pelanggan dan ingin memastikan bantuan kewangan kami kekal tersedia untuk mereka mendapatkan semula kedudukan kewangan yang kukuh," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohd Muazzam Mohamed.

Sementara itu, Bank Muamalat memaklumkan ia menyemak semula kadar asas dan kadar pembiayaan asas masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.81 peratus daripada 2.56 peratus dan 5.81 peratus berkuat kuasa 13 Mei.

Sejajar dengan kenaikan kadar asas dan kadar pembiayaan asas, bank turut menyemak semula kadar deposit Akaun Berjangka Tetap-i sebanyak 25 mata asas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 9:21 AM