HONG Leong Bank Bhd (HLB) memperuntukkan perbelanjaan modal sehingga RM200 juta bagi tahun kewangan 2021 dengan sebahagian besarnya membabitkan inisiatif perbankan digital.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Domenic Fuda berkata, sejumlah 60 hingga 65 peratus diperuntukkan untuk perniagaan digital termasuk membabitkan keselamatan dan pematuhan pelaburan bagi meningkatkan pengalaman digital pelanggan.

"Dalam tempoh beberapa tahun lalu, HLB menggunakan perkhidmatan pihak ketiga untuk menyokong inisiatif digital kami.

"Kini, HLB akan memberi tumpuan dalam menggunakan kemampuan teknologinya sendiri untuk meningkatkan keupayaan perbankan digital," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Hari Digital HLB di Kuala Lumpur, hari.

Turut hadir, Pengarah Urusan Perkhidmatan Kewangan Peribadi HLB, Charles Sik serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Islamic Bank, Jasani Abdullah.

Mengulas lanjut, Fuda berkata, jumlah keseluruhan perbelanjaan modal bagi tahun kewangan 2021 turut membabitkan operasi HLB di pasaran luar negara iaitu Singapura dan Kemboja.

"Peningkatan keupayaan digital juga akan dilaksanakan di Singapura dan Kemboja," katanya.

Bagi tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau berkata, HLB menerima lonjakan besar dalam jumlah penggunaan tanpa tunai, sejajar dengan langkah pantas pelanggan menyelaras kehidupan dalam normal baharu.

Domenic Fuda
Domenic Fuda

Katanya, ia dibuktikan pabila jumlah tambah nilai e-dompet HLB melonjak 13 kali ganda dalam tempoh Mac hingga Mei berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Setakat Mei lalu, hampir 80 peratus pelanggan kami menggunakan aplikasi perbankan, HLB Connect untuk berurusan.

"Covid-19 mempercepatkan lagi peralihan kepada perbankan digital dan penggunaan inisiatif tanpa tunai," katanya.

Sementara itu, Sik berkata, HLB menyediakan tujuh tawaran mega sehari menerusi Hari Digital HLB semalam.

Katanya, antara tawaran menarik adalah pemegang kad kredit HLB akan menikmati pulangan tunai sehingga RM700, manakala pelanggan baharu menikmati potongan 50 peratus bagi perbelanjaan runcit.

"Pemegang kad juga menikmati Flexi-Payment Plan (FPP) dengan kadar faedah setahun pada sifar. Bagi mereka yang ingin memohon pinjaman peribadi, pada 7 Julai sahaja, mereka akan menikmati kadar faedah rendah dari 3.2 peratus," katanya.

Antara tawaran lain sempena Hari Digital HLB adalah kadar deposit tetap elektronik atau e-Fixed Deposit pada 2.8 setahun dan kadar pelaburan-i berjangka pada 2.95 peratus selama tiga bulan.

Selain itu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ditawarkan langganan Penyelesaian Perniagaan Digital PKS HLB secara percuma selama dua bulan dan diskaun 60 peratus untuk langganan produk Kakitangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 6:25 PM