ANTARA tawaran dari Touch ‘n Go eWallet untuk ePemula.
ANTARA tawaran dari Touch ‘n Go eWallet untuk ePemula.

Kuala Lumpur: Kumpulan Touch 'n Go (TNG) melalui Touch 'n Go eWallet, mempunyai rangkaian terbesar peniaga runcit fizikal di mana belia dan pelajar yang mahu menuntut kredit ePemula boleh menggunakan kredit berkenaan di mana saja.

Ketua Pegawai Eksekutif, TNG Digital Sdn Bhd, Alan Ni berkata, pihaknya mempunyai rangkaian terbesar peniaga runcit fizikal di mana belia dan pelajar boleh menggunakan kredit yang dituntut di pelbagai rangkaian perniagaan.

"Mereka boleh menggunakan kredit berkenaan di kedai buku untuk keperluan belajar mereka, gerai nasi lemak untuk hidangan pagi mereka, membayar teh tarik dan roti canai apabila mereka berjumpa dengan rakan di restoran mamak atau mendapatkan pakaian baharu di Uniqlo dan menjamu selera di McDonald's," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pihaknya menyokong usaha berterusan kerajaan untuk mempromosikan perbelanjaan tanpa tunai di kalangan belia dengan meringankan beban mereka, dan pada masa sama menggalakkan perniagaan luar talian untuk menerima transaksi tanpa tunai.

"Kredit ePemula hanya boleh digunakan untuk pembelian luar talian. Malah, kami turut memberikan baucar tambahan bernilai RM200 daripada rakan niaga," katanya.

Belia Malaysia berumur 18 hingga 20 tahun serta pelajar Malaysia sepenuh masa di institut pengajian tinggi (IPT) Malaysia layak menuntut kredit ePemula RM150 dan Touch 'n Go eWallet memberi ganjaran baucar bernilai lebih RM200.

Baucar itu terdiri daripada lebih daripada 25 jenama termasuk dalam talian, runcit, F&B, syarikat telekomunikasi dan pengangkutan.

"Di saat rakyat Malaysia semakin pulih ketika peralihan endemik ini, kami menyokong usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi Malaysia melalui pendigitalan dan memastikan generasi Malaysia akan datang meraih manfaat melalui sokongan kewangan dan saluran transaksi yang lebih selamat.

"Golongan ibu bapa juga digesa supaya menggalakkan anak-anak mereka yang layak untuk menuntut dengan kami kerana kami turut memberi ganjaran kepada mereka dengan baucar peniaga luar talian dan dalam talian.

"Mereka digalakkan untuk memilih kami sebagai pilihan pembayaran yang lebih selamat dan kami boleh didapati di kebanyakan kedai fizikal di sekeliling mereka," katanya.

ePemula bermula dari 11 April 2022 hingga 1 Jun 2022. Tuntutan hanya boleh digunakan untuk pembelian runcit dalam kedai dan mesti digunakan sebelum 10 Jun 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 8:09 AM