CELCOM akan menamatkan rangkaian 3G menjelang akhir tahun ini.
CELCOM akan menamatkan rangkaian 3G menjelang akhir tahun ini.
Sri Ayu Kartika Amri


CELCOM Axiata Berhad (Celcom) memperuntukkan RM1 bilion tahun ini dalam usaha mempertingkat kapasiti rangkaian, mengurangkan kesesakan trafik rangkaian dan menambah baik liputan 4G di seluruh negara.

Sejak Disember tahun lalu, Celcom sudah menyediakan tapak stesen rangkaian yang baharu, menambah baik dan mengoptimumkan liputan 4G di kawasan pedalaman seluruh negara.

Ia termasuk Kampung Jemukan, Sarawak; Kampung Bukit Pampong, Raub, Pahang; Bukit Petai, Jerangau, Kelantan; Kg Bunuk, Sarawak; Kg Mambong, Puncak Borneo, Sarawak dan banyak lagi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Idham Nawawi berkata, program pelaburan rangkaian yang dipacu ini menyasarkan penambahbaikan 4,700 tapak rangkaian seluruh negara dengan peningkatan kapasiti, pemasangan perkakasan 4G terkini dan program optimisasi rangkaian teras meliputi hampir 1,000 tapak rangkaian 4G di Sabah and Sarawak.

"Sebagai tambahan, Celcom turut menjalankan program mengoptimumkan kluster seluruh negara bagi 3,600 lagi tapak rangkaian untuk menangani isu buffering video dan menyediakan kualiti panggilan suara dan video yang lebih baik menjelang Ogos ini.

"Celcom tidak akan berhenti untuk menyediakan prestasi rangkaian dan pengalaman video yang konsisten bagi rakyat Malaysia.

"Kami akan terus melabur dan mengoptimumkan liputan, kapasiti dan daya tahan rangkaian kami.

"Pelaburan rangkaian yang kami pacu ini turut mengambil kira cabaran di sepanjang kawalan pergerakan Covid-19 dengan bertindak pantas kepada isu kesalinghubungan, khususnya di kawasan pedalaman dengan segera mungkin," katanya pada taklimat media prestasi suku keempat 2020 Celcom di sini, semalam.

Menurutnya, pelaburan rangkaian yang dipacu bagi tahun ini akan memfokus kepada memperluas liputan populasi 4G LTE kepada 95.6 peratus, menyediakan pengalaman video HD yang konsisten, memperbaiki kualiti liputan dalam bangunan dan pengalaman VoLTE yang lancar.

Beliau berkata, Celcom juga akan menamatkan rangkaian 3G menjelang akhir tahun ini.

"Kami memahami kepentingan untuk penyediaan rangkaian yang konsisten di seluruh negara, tanpa meninggalkan sesiapa pun, serta melindungi kesejahteraan rakyat.

"Pelanggan yang terbabit boleh beralih kepada rangkaian 4G kami dengan memiliki telefon pintar 4G yang kami sediakan melalui pakej mampu milik.

"Celcom juga akan terus melabur dalam penggunaan teknologi terkini seperti 4T4R multiple-input and multiple-output (MIMO), Carrier Aggregation, 256 Quadrature Amplitude Modulation (QAM) dan lain-lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 7:10 AM