Gambaran artis hab tenusu halal baharu milik Dutch Lady Milk Industries Bhd (DLMI) di Bandar Baru Enstek, Negeri Sembilan.
Gambaran artis hab tenusu halal baharu milik Dutch Lady Milk Industries Bhd (DLMI) di Bandar Baru Enstek, Negeri Sembilan.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Pengeluar tenusu terkemuka Malaysia, Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI) telah melantik kontraktor tempatan, Seremban Engineering Berhad (SEB) sebagai kontraktor utama untuk membina kilang pembuatan produk tenusu halal baharunya di Techpark, Bandar Baru Enstek, Negeri Sembilan.

Kontrak bernilai lebih RM100 juta itu merangkumi semua kerja-kerja sivil, struktur dan seni bina yang akan dikendalikan oleh SEB untuk membina hab pembuatan produk tenusu halal baharunya yang berkeluasan kira-kira

13 hektar.

Kontrak ini bernilai 25 peratus daripada jumlah RM400 juta pelaburan DLMI.

Pengarah Urusan DLMI, Ramjeet Kaur Virik berkata, DLMI teruja dengan pencapaian ini sejak 59 tahun kewujudan syarikat di Malaysia kerana ia menjadi bukti kepentingan negara selaku hab tenusu halal.

"Kerja-kerja pembinaan telah bermula di hab pembuatan tenusu halal baharu kami ini yang bakal membolehkan proses pembuatan dilakukan secara lebih efisien.

"Secara tidak langsung, ini akan menggandakan kapasiti pengeluaran kami. DLMI mengalu-alukan kerjasama dengan SEB kerana ia mewujudkan peluang berkolaborasi dengan rakan kongsi lain untuk membina hab pembuatan tenusu halal masa depan Malaysia, seterusnya 'Mengkhasiatkan Nusa dan Bangsa' untuk generasi akan datang," katanya dalam kenyataan.

Negeri Sembilan menjadi destinasi pelaburan pilihan DLMI kerana dasar negeri yang mesra perniagaan selain faktor jaraknya yang berdekatan dengan Lembah Klang.

Kemudahan baharu DLMI di Techpark, Bandar Baru Enstek ini turut terletak di lokasi yang strategik dan dihubungkan dengan infrastruktur yang sangat baik dan rangkaian jalan raya ke semua pusat bandar dan pelabuhan.

Hab industri halal yang semakin berkembang di Techpark @ Enstek yang turut menjadi tuan rumah pelbagai jenama makanan dan minuman (F&B) lain juga menjadi penentu dalam mempengaruhi keputusan DLMI membina kemudahan baharu itu di Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 4:19 PM