KILANG Dutch Lady di Petaling Jaya.
KILANG Dutch Lady di Petaling Jaya.

Kuala Lumpur: Dutch Lady Milk Industries Bhd (DLMI) melantik firma perunding pengurusan projek dan kejuruteraan, Royal HaskoningDHV bagi membangunkan kemudahan pengeluaran terbaharu bercirikan mesra alam di Bandar Enstek, Negeri Sembilan.

Pengarah Urusan DLMI, Tarang Gupta berkata, kontrak itu meliputi kerja reka bentuk, pemerolehan, pengurusan pembinaan, pengoperasian dan permulaan kemudahan terbabit selain bantuan pemindahan dari kilang sedia ada di Petaling Jaya, Selangor ke hab baharu.

"Kilang baharu itu dijangka dapat merevolusi proses rantaian bekalan syarikat. Pengalaman serta kepakaran Royal HaskoningDHV itu akan memastikan hab tenusu terbaharu DLMI ini berkelas dunia serta dilengkapi dengan teknologi mesra alam terkini.

"Ini dapat meningkatkan produktiviti bagi penghasilan lebih banyak produk untuk manfaat rakyat Malaysia selain menambah aspek pengambilan susu di masa depan," katanya.

Menurutnya, kemudahan berkenaan juga akan memperkasa DLMI untuk mencatat pertumbuhan lebih ketara serta menyumbang kepada ekonomi Malaysia serta sektor tenusu tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 9:49 AM