KADAR faedah pada pinjaman perumahan akan turut merosot sejajar penurunan OPR. FOTO Bloomberg
KADAR faedah pada pinjaman perumahan akan turut merosot sejajar penurunan OPR. FOTO Bloomberg
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) masa paling sesuai menambah baik aliran tunai individu dan membeli aset seperti rumah.

Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Bany Ariffin Amin Noordin berkata, jika kadar OPR diturunkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), maka kos membiayai aktiviti pinjaman kepada pelanggan akan menurun.

Katanya, ia juga menyebabkan bank akan mengenakan kadar faedah lebih rendah ke atas sebarang pinjaman pelanggan.

"Justeru, ini masa paling sesuai untuk tambah baik aliran tunai individu melalui pembiayaan semula (refinancing) ke atas pinjaman sedia ada.

"Ia juga masa tepat membeli aset seperti rumah kerana kadar faedah pada pinjaman perumahan akan turut turun sejajar penurunan OPR.

"Ini kerana pelbagai insentif yang disediakan pemaju seperti rebat tunai, tiada yuran guaman dan penyediaan perabot serta peralatan kediaman, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan kos pembelian rumah," katanya.

BNM menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) minggu lalu mengekalkan OPR pada paras 1.75 peratus susulan pemulihan berterusan ekonomi global dipacu peningkatan aktiviti eksport dan pembuatan.

Walaupun OPR dikekalkan buat kali ketiga berturut-turut namun BNM memberitahu peningkatan semula kes jangkitan Covid-19 dan langkah pencegahan sudah mempengaruhi aktiviti ekonomi di beberapa ekonomi utama.

Dr Bany berkata, persoalan sama ada OPR 1.75 peratus itu akan kekal atau dikurangkan lagi pada masa hadapan bergantung kepada kadar pemulihan ekonomi.

Katanya, sekiranya kadar pemulihan ekonomi masih perlahan kerana wabak Covid-19 yang masih berleluasa maka ada kemungkinan kadar OPR akan diturunkan lagi untuk meningkatkan aktiviti ekonomi.

"Tujuan OPR diturunkan adalah sebagai cara kerajaan membantu merancakkan semula aktiviti ekonomi yang terjejas teruk akibat Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 9:37 AM