DR Aimi Zulhazmi
DR Aimi Zulhazmi

EKONOMI domestik perlu dibantu sehingga kembali kepada momentum sekurang-kurangnya seperti sebelum pandemik dengan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sekarang pada 1.75 peratus.

Penganalisis ekonomi dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kebijaksanaan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengimbangkan pemulihan ekonomi dengan mengekalkan OPR walaupun menghadapi tekanan pasaran modal antarabangsa apabila Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar faedah, harus dipuji.

Katanya, selain itu, kenaikan kadar inflasi pada Disember tahun lalu pada 3.3 peratus memberi tekanan untuk menaikkan OPR bagi mengawal kadar inflasi nasional.

"Pengekalan OPR oleh BNM perlu disambut dengan baik rakyat Malaysia, sekiranya ia dinaikkan maka bermakna peningkatan pembayaran pinjaman perumahan dan pelbagai jenis pinjaman yang berasaskan kadar terapung.

"Ini akan memaksa peminjam membayar lebih dan akan memberi tekanan lebih teruk kepada rakyat terutama segmen B40 dan M40 keseluruhannya yang terjejas punca pendapatan mereka sejak pandemik berlaku dua tahun lalu.

"Tambahan lagi ramai peniaga kecil mikro dan sederhana (PKMS) turut terjejas dengan kenaikan kadar apungan pinjaman kesan dari peningkatan OPR.

"Ini akan memberi tekanan juga apatah lagi mereka sebagai usahawan mikro masih lagi 'bertatih' dalam beberapa bulan sejak pergerakan ekonomi dibenarkan bermula Oktober tahun lalu," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, tambahan lagi, segmen seperti jualan kereta dan rumah yang menjadi faktor besar yang mempengaruhi pemulihan ekonomi domestik turut akan menurun apabila kadar OPR akan mempengaruhi kadar pembiayaan asas (BFR).

Beliau berkata, justeru, ekonomi domestik perlu dibantu sehingga kembali momentum sama seperti sebelum pandemik melalui pengekalan OPR pada 1.75 peratus sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 7:10 AM