SETEL Express tawar perkhidmatan untuk pelanggan Setel menjejaki penghantaran e-dagang mereka di stesen Petronas terpilih.
SETEL Express tawar perkhidmatan untuk pelanggan Setel menjejaki penghantaran e-dagang mereka di stesen Petronas terpilih.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


PERKHIDMATAN penyelesaian e-pembayaran Setel, milik penuh Petronas Dagangan Bhd (PDB) menyasar menghantar 10,000 bungkusan setiap hari tahun ini menerusi pengenalan perkhidmatan baharunya, Setel Express.

Ketua Pegawai Eksekutif Setel Express, Mohd Faizal Sulaiman berkata, Setel Express menawarkan perkhidmatan untuk pelanggan Setel menjejaki penghantaran e-dagang mereka di stesen Petronas terpilih.

Katanya, setakat ini pusat penghantaran dan pengambilan terdapat di 12 hab stesen minyak kumpulan sebelum dikembangkan kepada 30 hab menjelang akhir tahun ini.

"Setel Express juga mempelbagaikan perkhidmatan termasuk pengambilan dan penghantaran di mana saja.

"Kami unjurkan Setel Express menguasi satu peratus daripada keseluruhan pasaran perkhidmatan penghantaran," katanya selepas majlis perasmian Setel Express di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani.

Setel Express kini berada di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor dan membuat penghantaran di Semenanjung Malaysia dengan memanfaatkan stesen Petronas sebagai hab ambil dan hantar (PUDO).

Faizal berkata, Setel Express juga membuka peluang pekerjaan baharu dengan menjadi pemandu atau penghantar barangan.

Katanya, syarikat tidak meletakkan sasaran tinggi kerana mahu Setel Express berkembang melalui pengalaman pelanggan serta perkhidmatan terbaik.

"Sudah tentu, semakin Setel Express berkembang, kita perlukan lebih ramai pekerja sekali gus membantu membuka peluang pekerjaan.

"Perkhidmatan penghantaran terbaru PDB juga mesra pelanggan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"PKS boleh menggunakan perkhidmatan Setel Express untuk penghantaran barangan tanpa had, sedikit atau banyak," katanya.

Menurutnya, harga ditetapkan bagi setiap penghantaran berdasarkan saiz barangan, bukan melalui jarak penghantaran.

"Harga ditawarkan sangat berpatutan selain kepantasan penghantaran dalam satu hari serta tempoh waktu perkhidmatan hab lebih panjang.

"Setel Express terbuka menjalin kerjasama dengan pelbagai rakan niaga pada masa hadapan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani berkata, Setel Express antara contoh bagaimana kumpulan dapat menggunakan sepenuhnya ketersediaan stesen minyak Petronas di seluruh negara.

Katanya, pelanggan tidak perlu khuatir jika tiada di rumah ketika penghantaran kerana mereka boleh mengambil barangan di hab Setel Express di dalam stesen minyak Petronas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 7:00 AM