Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia (Semarak Niaga) akan menjadi pelengkap kepada usaha kerajaan melalui sektor kewangan dalam menyediakan kemudahan pembiayaan dan bantuan bayaran balik pinjaman terutama dalam fasa pemulihan pasca pandemik.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau berharap ia akan menjadi pemangkin kepada pemulihan dan penyusunan semula perniagaan komuniti Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Katanya, program dengan nilai keseluruhan RM40 bilion itu juga merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti untuk dimanfaatkan oleh setiap golongan usahawan.

"Bagi perniagaan mikro dan kecil, kerajaan peka akan keperluan akses kepada pembiayaan dengan kadar faedah yang rendah. Dalam perkara ini, Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro Tekun Nasional atau CBRM, akan menawarkan pinjaman sehingga RM10,000 pada kadar faedah kosong peratus dengan keutamaan diberi kepada peniaga sektor informal. Saiz dana untuk program ini sahaja berjumlah RM200 juta.

"Bagi usahawan agro-makanan pula, skim mikro kredit oleh Agrobank akan menawarkan pinjaman sehingga RM75,000 pada kadar kosong peratus untuk enam bulan pertama berserta kemudahan moratorium sehingga enam bulan," katanya ketika melancarkan Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Perdana Menteri berkata, bagi perniagaan yang lebih matang, institusi kewangan seperti SME Bank akan menawarkan pinjaman sehingga RM10 juta di bawah skim IBS Promotion Fund 2.0 dan RM1 juta di bawah Program Pembiayaan Usahawan Muda 2.0 (YEF2.0) dengan saiz dana untuk kedua-dua skim ini berjumlah RM300 juta.

Katanya, untuk syarikat yang berdaya maju namun mempunyai kekangan mendapatkan dana baharu, kerajaan dan institusi kewangan sudah merangka suatu pembiayaan bentuk baharu yang lebih anjal bagi meluaskan keupayaan untuk memulihkan perniagaan.

ISMAIL Sabri (kanan) di iringi Tengku Zafrol merasmikan Semarak Niaga Keluarga Malaysia di Hotel Hilton. FOTO Fathil Asri
ISMAIL Sabri (kanan) di iringi Tengku Zafrol merasmikan Semarak Niaga Keluarga Malaysia di Hotel Hilton. FOTO Fathil Asri

"Satu daripadanya ialah melalui kaedah 'equity crowd funding' dan 'peer-to- peer financing' yang akan disokong dengan peruntukan RM80 juta secara geran padanan untuk Malaysia Co-investment Fund, tambahan kepada pelaburan oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), sebanyak RM100 juta.

"Bagi membantu syarikat yang berdepan masalah keberhutangan atau 'gearing' tinggi, kaedah pendanaan melebihi RM2.1 bilion melalui pelaburan ekuiti dan 'quasi-equity' turut tersedia.

"Kaedah ini diterajui oleh SME Bank dengan dana bernilai RM600 juta. BPMB juga akan menawarkan Skim 'Rehabilitation and Support Through Equity' (Reset) dengan saiz dana sebanyak RM500 juta," katanya.

Beliau berkata, Bank Negara Malaysia (BNM), juga menyediakan Kemudahan Permodalan Semula Perniagaan bernilai RM1 bilion untuk tujuan sama.

Menurutnya, secara keseluruhannya, sejumlah RM13 bilion dana tersedia untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana serta bagi ketersediaan dana yang berterusan, dana khas BNM terutamanya Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar dan Kemudahan Agromakanan ditingkatkan secara kolektif sebanyak RM2.5 bilion kepada RM10 bilion.

"Usaha ini juga selaras dengan aspirasi Jalinan Digital Negara, atau Jendela, dan inisiatif Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, atau MyDigital, yang bakal memacu Malaysia sebagai peneraju sektor ekonomi digital yang cekap dan proaktif, seterusnya mencorak sebuah negara bangsa yang berpendapatan tinggi.

"Insya-Allah, inisiatif ini akan meningkatkan sumbangan PMKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ke 45 peratus, sumbangan kepada eksport negara ke 25 peratus dan menjana dua 'unicorn' kebanggaan Malaysia menjelang 2025.

"Secara tidak langsung, setelah sektor perniagaan pulih, peluang pekerjaan juga akan bertambah seterusnya, sasaran 600,000 peluang pekerjaan akan tercapai melalui sumbangan penciptaan pekerjaan di sektor PMKS ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 12:40 PM