PENIAGA pasar malam di Taman Suria Pendamar, Pelabuhan Klang, Mohammed Noor Firdaus Rahim, 39, berniaga sambil mendengar pembentangan Belanjawan 2024. FOTO Faiz Anuar.
PENIAGA pasar malam di Taman Suria Pendamar, Pelabuhan Klang, Mohammed Noor Firdaus Rahim, 39, berniaga sambil mendengar pembentangan Belanjawan 2024. FOTO Faiz Anuar.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Keseluruhan RM44 bilion disediakan kerajaan dalam Belanjawan 2024 untuk kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan yang memanfaat usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usahawan mikro dan peniaga kecil disediakan kemudahan pinjaman kecil dengan dana keseluruhan RM2.4 bilion ringgit di bawah agensi seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (Tekun).

Menteri Kewangan berkata, sebanyak RM1.4 bilion di bawah pinjaman mikro BSN adalah untuk membantu menyediakan modal perniagaan, pembelian peralatan, premis serta pemasaran kepada penjaja dan pengusaha kecil-kecilan.

"Sebanyak RM330 juta di bawah Tekun juga untuk kemudahan pembiayaan kepada peniaga kecil seperti pengusaha batik dan kraf, usahawan Orang Asli serta Bumiputera Sabah dan Sarawak.

"RM30 juta ringgit daripadanya disediakan khusus untuk membiayai perniagaan diusahakan masyarakat India.

"Daripada jumlah keseluruhan ini, sebanyak RM720 juta dikhaskan untuk menggalakkan golongan wanita dan belia menceburi bidang perniagaan," katanya ketika pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata, di bawah BNM, sejumlah RM8 bilion dana pinjaman disediakan untuk menyokong syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang mana RM600 juta daripadanya dikhususkan untuk membantu perusahaan mikro dan usahawan berpendapatan rendah, kontraktor kecil, penerapan amalan kelestarian dan sektor berkaitan keterjaminan makanan.

Katanya, bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan memberi lebih banyak peluang kepada komuniti desa, separa bandar dan golongan kurang mendapat perkhidmatan kewangan, sebanyak RM600 juta disediakan di bawah Dana Impak Khazanah Nasional.

"Setakat ini, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) telah menjamin lebih 100,000 PKS merangkumi 75 peratus PKS bukan Bumiputera dan 25 peratus PKS Bumiputera dengan nilai keseluruhan diluluskan berjumlah lebih RM75 bilion.

"Tahun hadapan, SJPP akan menjamin sehingga 80 peratus pinjaman usahawan PKS khususnya yang terlibat dalam bidang ekonomi hijau, teknologi dan halal dengan ketersediaan dana jaminan sehingga RM20 bilion," katanya.

Beliau berkata, bagi menyokong fungsi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang berupaya membasmi kemiskinan, Kerajaan Perpaduan menyediakan peruntukan pembiayaan sebanyak RM100 juta.

"Tahun hadapan, RM100 juta ringgit dana pembiayaan juga disediakan kepada gerakan koperasi melalui Tabung Modal Pusingan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia antaranya bagi membantu lebih banyak koperasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 5:45 PM