FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Bisnes HM


Kuala Lumpur: CIMB Bank Bhd (CIMB) memberi jaminan pelanggannya tidak akan kehilangan sebarang dana dalam akaun mereka

Selain itu, pelanggan juga tidak perlu bimbang kerana tiada sebarang kesan terhadap sistem bank berhubung kesilapan pemprosesan yang menyebabkan sebilangan kecil pelanggan menerima kredit pendua dalam akaun mereka minggu lalu.

CIMB berkata, pihaknya sudah mengambil langkah untuk menahan atau lebih dikenali sebagai 'earmark' amaun kredit pendua itu.

Ini kerana katanya, jumlah itu bukan milik pelanggan dan bank mempunyai kewajipan untuk memastikan wang dipulangkan.

"CIMB ingin menjelaskan sumber dana terlebih bagi transaksi pendua itu diambil daripada wang pihak bank, dan bukannya daripada pengirim mahupun pelanggan penerima.

"Akaun pelanggan juga tidak dibekukan dan mereka masih boleh menggunakan baki dana melebihi amaun yang terkesan.

"Sehingga hari ini, tiada wang yang telah didebitkan daripada akaun pelanggan yang terkesan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bank berkenaan berkata, insiden yang berlaku itu adalah berkaitan ralat pemprosesan perkhidmatan kiriman wang pihak ketiga tertentu, yang menyebabkan pemindahan transaksi dibuat kepada pelanggan diproses dua kali secara tidak sengaja.

Katanya, insiden berkenaan mengakibatkan sebilangan terhad pelanggan CIMB terkesan kerana menerima kredit pendua ke dalam akaun mereka, iaitu jumlah diterima adalah dua kali ganda yang sepatut diterima.

Bank juga katanya sedang dalam perbincangan dan sedia bekerjasama rapat dengan pelanggan yang terkesan untuk memastikan penyelesaian yang adil dan terurus.

"Ini termasuk memberikan bukti dan dokumentasi yang jelas mengenai duplikasi kredit yang tercatat di penyata bank dan menyediakan skim pembayaran balik yang fleksibel berdasarkan keadaan individu pelanggan.

"Kami telah menyediakan talian hotline khusus untuk pelanggan di talian 03 2295 6188. Pelanggan juga boleh menghubungi pusat panggilan pelanggan kami di talian 03 6204 7788 untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 4:14 PM