TENGKU ZAFRUL AZIZ
TENGKU ZAFRUL AZIZ
Bisnes HM


CIMB Bank Berhad (CIMB Bank) dan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) menawarkan tempoh enam bulan pelepasan pembayaran balik sebarang pinjaman atau pembiayaan bagi pelanggannya yang terjejas akibat banjir.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, pelepasan itu terpakai untuk semua pinjaman dan pembiayaan individu dan pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk pembiayaan rumah atau perniagaan, pembiayaan premis, pembiayaan Amanah Sahama Bumiputera (ASB), Pembiayaan Hartanah SME Biz dan SME Quick Biz.

“Selain itu, pelepasan turut diberikan untuk pinjaman atau pembiayaan kenderaan, pembiayaan peribadi (Express Cash and Cash Plus Loan), kad kredit/caj lewat dan deposit.

“Caj untuk penggantian kad kredit atau debit juga akan dikecualikan. Malah, kami akan mempercepatkan pemprosesan tuntutan insurans akibat banjir di kawasan yang terjejas,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, pihaknya bersimpati dengan kerugian dan kesulitan yang dihadapi pelanggan dan kakitangan di kawasan yang terjejas.

“Kami harap bantuan pelepasan yang diberi ini dapat membantu meringankan beban yang dialami mangsa banjir.

“Pelanggan terjejas juga boleh pergi ke mana-mana cawangan 234 CIMB kami untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program bantuan banjir.

“Kami akan terus mencari cara untuk membantu pelanggan sama ada melalui operasi perniagaan kami atau inisiatif tanggungjawab korporat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 6:19 PM