FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Alzahrin Alias


Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) sedang memantau rapi langkah yang diambil oleh CIMB Bank Bhd (CIMB) untuk mendapatkan semula lebihan amaun yang dikreditkan kepada pelanggan mereka.

Pengawal selia sistem perbankan negara itu berkata, siasatan tentang insiden ini sedang dijalankan dan ia akan mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan yang sewajarnya, jika perlu.

Bank pusat itu menjelaskan, CIMB kini sedang dalam proses menghubungi setiap pelanggan yang terjejas bagi mengelakkan pelanggan mengalami sebarang gangguan untuk mengakses akaun masing-masing.

"CIMB dikehendaki memastikan proses mendapatkan semula amaun yang bukan milik pelanggan berkenaan tidak akan mengakibatkan beban kewangan luar jangka kepada pelanggan yang tidak sedar akan kesilapan pemprosesan itu.

"CIMB akan membincangkan pengaturan pemulihan dengan setiap pelanggan. Pelanggan terjejas yang telah menerima notis daripada CIMB mengenai insiden ini dinasihati supaya menghubungi CIMB bagi memastikan akaun mereka terus dapat diakses dengan lancar," katanya dalam maklum balasnya kepada BH mengenai perkara berkaitan dengan kesilapan pemprosesan oleh CIMB baru-baru ini.

Pada Isnin lalu, CIMB menjelaskan terdapat kesilapan pemprosesan telah menyebabkan sebilangan kecil pelanggan menerima kredit pendua dalam akaun mereka.

Kumpulan perbankan kedua terbesar di Malaysia dari segi aset itu berkata, pihaknya sedang menghubungi pelanggan terkesan untuk memastikan penyelesaian yang adil dan terurus.

"Pelanggan yang terjejas juga boleh menghubungi kami (CIMB) di talian 03 22956188 untuk penjelasan dan perbincangan lanjut," katanya.

CIMB berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan media bahawa terdapat sesetengah pengguna akaun bank CIMB dikejutkan dengan pembekuan akaun mereka secara tiba-tiba.

Panik menyelubungi pemegang akaun CIMB apabila mereka menerima pemberitahuan mengenai wang yang diperuntukkan untuk debit daripada akaun mereka.

Wang kepunyaan sesetengah pemegang akaun diperuntukkan untuk didebitkan dalam bentuk pelbagai caj bank manakala beberapa pelanggan menerima kredit pendua dan transaksi yang tidak berjaya melalui akaun mereka.

Dalam laporan media yang memetik khabar angin yang berlegar di media sosial bahawa terdapat 11,000 akaun milik pelanggan CIMB telah dibekukan sejak Isnin dan mereka mendapat mesej bahawa mereka berhutang ribuan ringgit kepada bank itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 7:30 PM