Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Sektor keusahawanan negara terus berkembang pesat dan ia terbukti menerusi enam syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang berjaya disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia dengan nilai pasaran modal mencecah RM4.3 bilion.

Syarikat terbabit ialah E A Technique (M) Berhad, Bioalpha Holdings Berhad, Sedani Innovator Berhad, Rhone Ma Holdings Berhad, Serba Dinamik Holdings Berhad dan Advancecon Holdings Berhad yang menyertai seminar tawaran awam permulaan oleh SME Corporation Malaysia (SME Corp), Bursa Malaysia, MIDF Amanah Investment Bank Berhad, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihak kerajaan pada masa sama turut melaksanakan beberapa inisiatif menyediakan saluran pembiayaan inovatif kepada PKS dalam memperkasakan golongan ini ke peringkat yang lebih tinggi.

Beliau berkata, antara dua program yang membantu menyediakan PKS ke arah penyenaraian termasuklah Fasiliti Pembiayaan EquiBumi yang membantu pengambilalihan daripada syarikat berpotensi serta Skim Jejak Jaya Bumiputera yang turut menggalakkan pertumbuhan perniagaan sedia ada.

“Kepelbagaian program yang dianjurkan kerajaan di bawah Pelan Induk PKS, Platform Akaun Pelaburan serta Dana Modal Awam adalah langkah untuk memperkukuh kehadiran usahawan tempatan di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Sehingga kini, RM22 bilion peruntukan dikhususkan bagi pembangunan PKS yang dijalankan di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan yang mana RM15.43 bilion adalah program akses pembiayaan seperti penyertaan usahawan dalam Bursa Malaysia,” katanya ketika berucap pada Seminar Stairway To IPO di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi SME Corp Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Datuk Hafsah Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Seri Tajuddin Atan.

Sementara itu, Tajuddin berkata, pihaknya menjangkakan dua atau tiga lagi PKS untuk disenarai di pasaran Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP) di Bursa Malaysia pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 4:20 AM