Kuala Lumpur: SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) menawarkan Dana Kecemasan PKS (SMEEF) RM10 juta bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat bencana banjir.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Datuk Hafsah Hashim berkata, SMEEF bertujuan membantu PKS memulihkan perniagaan menerusi pembelian mesin baru dan terpakai, modal kerja serta ubah suai premis yang terjejas akibat bencana alam.

Katanya, SMEEF diuruskan SME Corp dan MIDF itu akan disalurkan dalam bentuk geran dan pinjaman mudah.

“Usahawan yang terbabit bencana seperti banjir, ribut, kemarau, hakisan pantai dan tanah runtuh ditawarkan geran hingga RM20,000 manakala pinjaman antara RM50,000 dan RM100,000.

“Dana ini disalurkan dalam bentuk hibrid iaitu geran dan pinjaman mudah bagi meringankan beban PKS membangunkan semula perniagaan mereka melalui pembelian mesin baharu dan terpakai, modal kerja serta ubah suai premis,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurutnya, SME Corp menawarkan penyaluran dana hingga 90 peratus daripada nilai pembelian mesin atau peralatan baru dan 65 peratus mesin atau peralatan terpakai berusia tidak lebih lima tahun, 90 peratus bagi kos pengubahsuaian premis dan 90 peratus bagi modal kerja.

Beliau berkata, bagi pinjaman, kadar keuntungan atau faedah tiga peratus setahun dikenakan dan tempoh pembayaran balik hingga lima tahun tidak termasuk tempoh tangguh pembayaran semula hingga enam bulan.

Antara syarat kelayakan adalah syarikat diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 atau didaftarkan dalam Ordinan Perniagaan 1956, memiliki lesen premis sah yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 January 2015 @ 5:47 AM