HABIB menyokong inisiatif murni Rimau untuk melindungi spesies Harimau Malaya yang kini terancam.
HABIB menyokong inisiatif murni Rimau untuk melindungi spesies Harimau Malaya yang kini terancam.

Kuala Lumpur: Atas dasar rasa tanggungjawab untuk menyelamatkan Harimau Malaya yang kian pupus, Habib Jewels (Habib), semalam melancarkan syiling Wafer Emas 999 Edisi Terhad Harimau Malaya.

Pelancaran itu sempena tahun harimau, menurut kalendar Tahun Baru Lunar yang mana sebahagian daripada jualan syiling itu akan disalurkan ke badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Perlindungan Harimau (Rimau).

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Habib, Datuk Seri Meer Habib berkata, sebagai sebuah jenama Malaysia, Habib menyokong inisiatif murni Rimau untuk melindungi spesies Harimau Malaya yang kini terancam.

"Baru-baru ini, pemburuan haram hidupan liar terutama Harimau Malaya semakin berleluasa, dan kami cakna mengenai perkara ini.

"Kami berharap, sumbangan kami sedikit sebanyak dapat membantu Rimau dalam usaha mereka mendapatkan lebih ramai renjer dan peronda hutan bagi membendung aktiviti pemburuan haram.

"Paling utama, melalui inisiatif ini sedikit sebanyak diharap dapat memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepupusan harimau berkenaan," katanya pada majlis pelancaran syiling Edisi Terhad itu bersempena Kempen Tahun Baru Lunar Habib: Ignite The Spark di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Kumpulan Habib Datin Seri Zarida Noordin dan Presiden Rimau, Lara Ariffin.

Beliau berkata, syiling berkenaan bertujuan mempamerkan keindahan hidupan liar dan kejadian alam di Malaysia dan mendidik masyarakat untuk bersama-sama bersatu melindungi dan menyelamatkan Harimau Malaya.

"Sebagai rakyat yang mencintai negara, usaha sama ini pastinya dapat menyelamatkan warisan kita," katanya.

"Tindakan segera diambil dapat membantu usaha murni yang dilaksanakan oleh Rimau," katanya.

Menurutnya, program seumpama itu akan diteruskan pada masa depan demi kelangsungan haiwan berkenaan.

Sementara itu Lara berkata, semua pihak perlu memainkan peranan bagi mencapai matlamat membendung masalah ancaman harimau Malaya di Malaysia.

"Kini hanya tinggal kurang dari 150 Harimau Malaya di hutan Semenanjung Malaysia dan kami berharap usaha ini dapat meningkatkan kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya untuk kita menjaga dan menyelamatkan Harimau Malaya untuk generasi akan datang," katanya.

Pada majlis itu Habib turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM38,888 bagi membantu Rimau membendung ancaman ke atas Harimau Malaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 7:02 AM