BANK Negara Malaysia.
BANK Negara Malaysia.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ekonomi Malaysia mencatatkan penurunan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang lebih kecil sebanyak 0.5 peratus pada suku pertama 2021 berbanding penguncupan 3.4 peratus pada suku sebelumnya dengan pemulihan dilihat dalam semua sektor ekonomi.

Pada suku pertama 2020 ketika tercetusnya pandemik, Malaysia mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 0.7 peratus.

Semua sektor ekonomi mencatatkan peningkatan dalam suku berkenaan, terutamanya sektor perkilangan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus pada sidang media secara maya bagi mengumumkan prestasi KDNK Malaysia untuk suku pertama 2021, hari ini.

Sektor perkilangan meningkat dengan lebih kukuh pada 6.6 peratus pada suku pertama 2021 berbanding 3.0 peratus pada suku keempat 2020, sementara sektor perkhidmatan menyusut 2.3 peratus pada suku berkenaan, tetapi lebih baik berbanding penurunan 4.8 peratus pada suku keempat 2020.

Sektor pertanian meningkat sedikit kepada 0.4 peratus, sektor perlombongan dan kuari mengembang kepada negatif 5.0 peratus dan sektor pembinaan turun 0.4 peratus.

Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memasuki pusingan ketiga, Nor Shamsiah berkata, pertumbuhan KDNK Malaysia mungkin kekal dalam julat 6.0 peratus hingga 7.5 peratus pada tahun 2021.

"PKP 3.0 akan sama seperti PKP 2.0 dengan kebanyakan sektor ekonomi tetap dibuka," katanya.

Meskipun langkah-langkah pembendungan dilaksanakan semula baru-baru ini, kesan terhadap pertumbuhan dijangka kurang teruk berbanding dengan tahun 2020 berikutan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi.

"'Secara keseluruhan, pemulihan pertumbuhan dijangka memperoleh manfaat daripada permintaan global yang lebih baik, perbelanjaan sektor awam dan swasta yang meningkat serta sokongan dasar yang berterusan. Hal ini juga mencerminkan pemulihan keadaan pasaran pekerja, terutamanya berikutan aktiviti pengambilan pekerja yang meningkat secara beransur-ansur.

"Pengeluaran yang lebih tinggi daripada fasiliti perkilangan yang sedia ada dan baharu, terutamanya dalam sektor E&E dan subsektor berkaitan sumber, serta daripada loji pengeluaran minyak dan gas akan memberikan dorongan selanjutnya kepada pertumbuhan," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan program pemberian vaksin Covid-19 dalam negeri juga akan meningkatkan sentimen dan menyumbang ke arah pemulihan kegiatan ekonomi.

Bagaimanapun, kadar pemulihan dijangka tidak sekata merentas sektor ekonomi.

Bank pusat baru-baru ini pada mesyuarat jawatankuasa dasar monetarinya telah mengekalkan kadar dasar semalaman pada 1.75 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 3:42 PM