DR Mohd Uzir
DR Mohd Uzir

Kuala Lumpur: Indikator ekonomi utama Malaysia menunjukkan momentum pemulihan yang menggalakkan bagi suku keempat 2021 dan tempoh 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merekodkan penyusutan 4.5 peratus pada suku ketiga namun peralihan berterusan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) mengurangkan impak terhadap penguncupan KDNK Malaysia.

Ia dicerminkan menerusi penyusutan kecil 1.1 peratus pada September 2021 berbanding Ogos 2021 (-4.7 peratus) dan Julai (-7.6 peratus).

"Dari segi penawaran, semua sektor menyusut pada suku ini manakala dari segi permintaan, perbelanjaan penggunaan akhir swasta dan pembentukan modal tetap kasar mencatatkan penurunan, kecuali perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan yang kekal positif pada suku ketiga 2021.

"Ekonomi Malaysia meningkat 3.0 peratus bagi tempoh sembilan bulan dari Januari hingga September 2021 berbanding negatif 6.4 peratus tahun yang lalu," katanya dalam kenyataan.

Ia bagi mengulas Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 11/2021 yang diterbitkan DOSM.

MESR ini menumpukan senario ekonomi pada September 2021 dan prestasi ekonomi bagi suku ketiga tahun ini serta beberapa sorotan statistik akan datang bagi Oktober 2021.

Laporan ini juga dilengkapi dengan artikel khas bertajuk 'Covid-19: Kesan Krisis Kesihatan Global Terhadap Perdagangan Barangan Malaysia' yang memperihalkan prestasi perdagangan dan tinjauan perdagangan pascapandemik terhadap bekalan barangan terpilih yang berkaitan Covid-19.

Mengenai perdagangan luar negara, Dr Mohd Uzir berkata, Imbangan Akaun Semasa (CAB) Malaysia pada suku ketiga 2021 merekodkan lebihan RM11.6 bilion, berikutan defisit yang lebih tinggi dalam akaun Pendapatan.

Beliau berkata, akaun barangan mencatatkan lebihan lebih tinggi sebanyak RM41.2 bilion apabila eksport menyusut pada kadar yang lebih perlahan berbanding import.

"Dari segi prestasi pelaburan, pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia terus mencatatkan aliran masuk RM12.8 bilion daripada RM8.2 bilion manakala pelaburan langsung Malaysia di luar negara (DIA) berubah kepada aliran masuk bersih RM4.7 bilion berbanding aliran keluar bersih RM4.0 bilion pada suku sebelumnya," katanya.

Beliau berkata, prestasi jumlah dagangan Malaysia pada suku ketiga 2021 meningkat 18.1 peratus kepada RM546.2 bilion berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.

Pertumbuhan kukuh ini disumbangkan oleh pembukaan semula aktiviti ekonomi domestik dan permintaan luaran yang berterusan, katanya.

Mohd Uzir berkata, pengumuman belanjawan yang bercirikan pengembangan bagi 2022 dengan tema 'Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera' dijangka dapat meminimumkan tekanan ekonomi dan memacu pertumbuhan ekonomi ke landasan yang betul, di samping pelaksanaan program vaksinasi berterusan dan pembukaan semula perjalanan rentas negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 7:00 AM