Pengarah Pemasaran Asia Tenggara DFI Retail Group, Lee Yik Hun.
Pengarah Pemasaran Asia Tenggara DFI Retail Group, Lee Yik Hun.
Oleh Mahaizura Abd Malik


Petaling Jaya: GCH Retail (Malaysia), anak syarikat Dairy Farm International (DFI) memperuntukkan RM22 juta nilai pelaburan menerusi Kempen Harga Lagi Rendah Lagi Lama yang berlangsung enam bulan bermula semalam.

Pengarah Pemasaran Asia Tenggara DFI Retail Group, Lee Yik Hun berkata, menerusi kempen itu pihaknya menawarkan potongan harga sehingga 20 peratus kepada 460 produk paling banyak dibeli pengguna termasuk barangan segar, runcit, penjagaan diri dan keperluan rumah terpilih di semua pasar raya dan mini Giant di seluruh negara.

"Giant komited mengekalkan harga rendah pada jangka masa lebih lama menerusi kempen selama enam bulan ini supaya lebih ramai pelanggan dapat menikmati lebih penjimatan.

"Dengan pelaburan RM22 juta, kami dapat membantu rakyat Malaysia dengan menawarkan purata penjimatan harga sehingga 20 peratus kepada lebih 460 produk segar dan berkualiti, namun pada harga lebih rendah setiap hari," katanya sempena Majlis Pelancaran Kempen Harga Lagi Rendah Lagi Lama di Giant Kota Damansara di sini, semalam.

Katanya, pihaknya melancarkan jenama sendiri, Meadows yang menawarkan makanan berkualiti dari seluruh dunia pada harga berpatutan 20 peratus lebih rendah daripada jenama setara bagi membantu pelanggan mendapatkan penjimatan.

"Meadows menjadi jenama terkemuka di Giant dan lebih popular dari kebanyakan jenama antarabangsa terkenal.

"Pelanggan yang mementingkan nilai juga boleh mendapatkan pelbagai jenis produk Giant berkualiti pada harga rendah yang diputuskan menerusi kerjasama antara pembekal utama, petani dan nelayan untuk memastikan produk segar kekal sebagai tumpuan utama di Giant," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Makanan Asia Tenggara DFI Retail Group, Chris Bush berkata, pelancaran kempen itu sebagai tanda sokongan kepada rakyat Malaysia terutama mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Kami tahu ini masa sukar bagi semua orang dan pelanggan kami berdepan kebimbangan disebabkan kos yang semakin tinggi serta tekanan kewangan dialami kebanyakan keluarga akibat pandemik Covid-19.

"Kempen ini pelaburan tunggal terbesar kami dalam lebih satu dekad untuk menurunkan harga dan kami melancarkannya selepas mendengar apa yang paling penting pelanggan kami mahu iaitu harga lebih rendah bagi barangan keperluan paling banyak mereka beli.

"Kami berbesar hati menunaikan satu lagi janji menerusi kempen ini selepas mendapat sambutan luar biasa penjenamaan semula pasar raya Giant pada awal tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 8:02 AM