LEE (tiga dari kiri) melancarkan lori berisi makanan Kempen Sudah Makan pada majlis pelancaran program tanggungjawab sosial korporat (CSR) lebihan makanan dan kempen Sudah Makan? Giant di Pasaraya Besar Gaint Setapak. - Gambar NSTP/ROHANIS SHUKRI
LEE (tiga dari kiri) melancarkan lori berisi makanan Kempen Sudah Makan pada majlis pelancaran program tanggungjawab sosial korporat (CSR) lebihan makanan dan kempen Sudah Makan? Giant di Pasaraya Besar Gaint Setapak. - Gambar NSTP/ROHANIS SHUKRI

GIANT Malaysia merancang untuk membuka empat lagi Giant Mini bulan depan menjadikan jumlah keseluruhan perniagaan kedai runcitnya di negara ini sebanyak 50 cawangan.

Pengarah Pemasaran (Makanan) Asia Tenggara DFI Retail Group, Lee Yik Hun berkata, pihaknya kini giat mengembangkan kehadiran Giant Mini selepas mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.

Katanya, Giant Mini diwujudkan bagi memberi kemudahan dari segi akses kepada masyarakat.

"Ramai pelanggan kami mengatakan harga produk yang dijual di Giant adalah murah dan berpatutan, namun lokasinya jauh.

"Maka kami mahu membawa pengalaman mereka membeli-belah di Giant kepada masyarakat menerusi pembukaan kedai runcit sebegini.

"Majoriti produk dan barangan dijual di Giant Mini sama dari segi harga produk dijual di pasar raya Giant. Ia menawarkan lebih 4,000 produk unit simpanan stok (SKU) bergantung kepada saiz kedai," katanya selepas majlis pelancaran program tanggungjawab sosial korporat (CSR) lebihan makanan dan kempen 'Sudah Makan?' Giant di sini, semalam.

Pada majlis itu, Giant mengumumkan kerjasama baharu dengan TLFP dan menyerahkan lori penghantaran Giant bersama 4,000 kilogram barangan keperluan untuk diagihkan kepada 200 keluarga di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak serta PPR Sungai Bonus.

Sementara itu, Giant Malaysia menyasarkan menyumbang lebih 500,000 makanan bagi program amal tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah kempen Sudah Makan? menjelang akhir tahun depan.

Melalui program dengan kerjasama The Lost Food Project (TLFP) itu, pihaknya komited dalam usaha membantu pelanggan kurang bernasib baik.

"Kami sedar semakin ramai dalam komuniti setempat yang mungkin tidak mampu untuk mendapatkan makanan walaupun sehari sekali apatah lagi tiga kali sehari bagi menjalani kehidupan seharian mereka.

"Justeru, selari dengan misi kami untuk menyediakan pelanggan apa diperlukan, kami berusaha membantu mereka yang tidak bernasib baik dan kurang berkemampuan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kempen itu, Lee berkata, pelanggan turut boleh menyumbang sama melalui pembelian satu kilogram beras Meadows yang mana 10 sen akan disalurkan ke program berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 6:00 AM