CHRIS Bush ketika pelancaran penjenamaan logo baharu di Giant Kota Damansara. FOTO Owee Ah Chun
CHRIS Bush ketika pelancaran penjenamaan logo baharu di Giant Kota Damansara. FOTO Owee Ah Chun
Sri Ayu Kartika Amri dan Hajar Umira Md Zaki

Petaling Jaya: GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, anak syarikat Dairy Farm International memperkenalkan wajah baharu pasar raya besar Giant yang menawarkan lebih banyak produk pada harga kompetitif.

Ia memperuntukkan pelaburan sebanyak RM25 juta untuk melakukan penjenamaan semula semua 57 cawangan Giant seluruh negara termasuk menukar logo baru.

Pembaharuan yang diperkenalkan termasuklah pelancaran lebih 2,000 produk baharu; produk usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), zon ringgit, bahagian produk sedia dimakan selain stor Guardian di Giant terpilih.

Selain itu, Giant turut memperkenalkan segmen barangan berharga serendah RM3 di semua kategori produk yang dipasarkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Makanan Asia Tenggara, Dairy Farm, Chris Bush berkata, pihaknya menyedari keadaan yang semakin mencabar ketika ini dan lebih komited untuk menjadi peneraju pembekal makanan di Malaysia.

"Kami menyediakan ratusan produk baharu di sekitar kawasan makanan segar dengan tahap kualiti yang tinggi, spesifikasi baharu serta pendekatan sumber baharu yang membawa pelanggan kepada kualiti yang mereka belum pernah rasai sebelum ini.

"Dengan pembaharuan ini, ia membuktikan kami sedia mendengar dan bertindak berdasarkan tindakbalas pelanggan sebelum ini dan membuat pembaharuan di semua stor operasi dengan mengambil kira standard kebersihan, ketersediaan produk dan tahap servis," katanya pada majlis pelancaran wajah baru Giant, di Giant Kota Damansara, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah GCH Retail Malaysia, Tunku Tan Sri Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar dan Pengerusi Jardines Matheson Country, Rossana Annizah.

Crish berkata, dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi pihaknya akan memperkenalkan kira-kira 300 produk baharu di bawah jenama Meadows.

Menurutnya, lebih menarik lagi, bagi segmen barangan segar Giant, pihaknya mendapatkan produk secara terus daripada peladang tanpa menggunakan orang tengah bagi menjamin kesegaran produk serta harga mampu milik.

"Pelanggan juga kini boleh mendapatkan produk makanan dari pelbagai negara seluruh dunia di mana kami menyediakan ruangan khas untuk produk terbabit," katanya.

Beliau berkata, selari dengan pengembangan operasi Giant di negara ini, pihaknya juga akan menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan baru kepada rakyat di negara ini sekali gus membantu melonjakkan semula ekonomi negara selepas era pasca-Covid-19.

"Sebagai permulaan, kami akan membuka Giant Mini yang bersaiz antara 800 kaki persegi hingga 1,000 kaki persegi.

"Pembukaan cawangan Giant Mini akan menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan baru kepada rakyat Malaysia khususnya PKS untuk memasarkan produk masing-masing menerusi Giant Mini," katanya.

Sejak awal tahun 2000, Giant berjaya mengukuhkan kehadirannya sebagai peneraju produk berharga rendah di Malaysia termasuk menerima Anugerah Harga Berpatutan 2016 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 1:14 PM