AHLI Lembaga Pengarah GCH
AHLI Lembaga Pengarah GCH
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd (GCH Retail), pengendali jenama pasar raya besar Giant membuka semula pasar raya Giant Sungei Wang selepas melengkapkan proses naik tarafnya yang menampilkan pengalaman beli-belah menarik kepada pelanggan.

Pasar raya itu adalah satu daripada cawangan pasar raya Giant tertua di Malaysia dengan ia menawarkan pelbagai produk segar dan turut menjadi tumpuan pelancong yang berkunjung ke Sungei Wang Plaza yang terletak di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur.

Pengarah Urusan GCH Retail, Pierre-Olivier Deplanck berkata, pihaknya menghabiskan banyak masa untuk memahami keperluan pelanggan yang berkunjung ke cawangan itu bagi memastikan pelanggan berpuas hati.

“Pasar Raya Giant Sungei Wang akan terus memberi inspirasi kepada pelanggan melalui pemilihan produk segar selain persekitaran yang lebih selesa,” katanya pada majlis pembukaan semula pasar raya itu di sini, semalam.

Konsep cawangan baharu pasar raya itu menyaksikan Giant meneruskan kesinambungan produk makanan sedia dimakan dan bakeri konsep baharu, pengenalan barang dan produk baharu serta memperkembangkan variasi produk sedia dimakan seperti siri makanan Korea, set bento Jepun, hidangan makanan tempatan dan lapan variasi nasi.

Sebagai tambahan kepada cawangan itu, restoran Uncle Jack’s Fried Chicken menawarkan menu baharu yang terdiri daripada pilihan campur dan padan, set kombo berpatutan dan rasa nasi lemak yang ditambah baik untuk memenuhi keperluan pelanggan di kawasan sekitar.

Beliau berkata, cawangan itu juga turut menyediakan ruang khas bagi menawarkan barangan buatan Malaysia dikenali Citarasa Malaysia yang memberi peluang kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

“Kami harap pembukaan semula cawangan yang menampilkan pelbagai produk segar berkualiti dan bernilai ini akan menjadikan pasar raya Giant Sungei Wang sebagai pilihan utama bagi pelanggan dan pelancong di kawasan sekitar,” katanya.

Bersempena pembukaan semula cawangan itu, Giant akan mengadakan pelbagai aktiviti seperti pengalaman dalam cawangan interaktif, sampel makanan dan hadiah menarik sepanjang Februari ini.

Selain itu, cawangan Giant terbabit menawarkan beg cenderamata percuma bersama baucar Giant RM5 untuk 200 pelanggan pertamanya di samping turut memberikan baucar itu kepada 1,000 pelanggan pertama yang berbelanja minimum RM50.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 10:01 AM