AirAsia tidak sabar untuk kembali menyambut tetamu dengan perkhidmatan terbaik di Asean.
AirAsia tidak sabar untuk kembali menyambut tetamu dengan perkhidmatan terbaik di Asean.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: AirAsia dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia untuk tahun kelima berturut-turut dan dianugerahkan Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia untuk tahun keenam di World Travel Awards 2021 edisi ke-28.

AirAsia mengungguli kategori utama selepas menerima undian tertinggi daripada pengguna dan pemain industri profesional di rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation, Bo Lingam berkata, pihaknya berbesar hati menerima anugerah berkenaan untuk tahun kelima dan keenam berturut-turut.

"Ini adalah pencapaian luar biasa dan kami tujukan anugerah ini kepada Allstars yang bekerja keras walaupun dilanda krisis semasa dan terus mengutamakan tetamu.

"Kini kami dapat melihat keadaan semakin pulih dan tidak sabar untuk kembali terbang tinggi di semua pasaran utama dengan standard keselamatan dan kepatuhan tertinggi sempena pembukaan sekatan perjalanan secara beransur-ansur.

"Covid-19 membolehkan kami meninjau setiap aspek operasi dan kembali lebih kukuh dengan menawarkan pengalaman perjalanan yang dipertingkatkan melalui airasia Super App, aplikasi perjalanan dan gaya hidup sehenti kami.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada World Travel Awards, serta lebih 600 juta tetamu yang telah terbang bersama kami, dan rakan industri atas sokongan dan pengiktirafan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia, Suhaila Hassan berkata, anugerah Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia ini sekali lagi memperkukuh komitmen AirAsia untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada tetamu.

"Kami percaya 18 bulan lalu adalah masa yang amat mencabar untuk semua orang dan terutamanya bagi mereka di dalam industri penerbangan dan pelancongan.

"Kami berbesar hati untuk menerima anugerah ini sekali lagi yang mencerminkan keunggulan dalam perkhidmatan yang mengutamakan tetamu kami.

"Kami tidak sabar untuk kembali menyambut tetamu dengan perkhidmatan terbaik di Asean sempena pembukaan semula sekatan perjalanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 12:35 PM