JEPUN dikenali sebagai hab pasaran permainan video di Asia.
JEPUN dikenali sebagai hab pasaran permainan video di Asia.

PERBADANAN Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan menampilkan penggiat industri permainan video di Malaysia ke pameran perdagangan permainan terbesar di Asia, Ekspo Permainan Video Tokyo (TGS) 2021 di Chiba, Jepun bermula 30 September hingga 3 Oktober 2021.

Penyertaan Malaysia adalah menerusi format hibrid iaitu promosi secara dalam talian dan luar talian dengan lima pembina permainan dan studio animasi di Malaysia akan memperkenalkan tawaran dan kepakaran mereka dalam kandungan kreatif, pembangunan dan penerbitan permainan, penghasilan penyumberluaran animasi dan pembangunan Harta Intelek (IP) kreatif, menurut Matrade dalam kenyataan.

Pengarah Seksyen Elektrik dan Elektronik, Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Jentera dan Peralatan Matrade, Naim Abdul Rahman berkata, antara syarikat yang mengambil bahagian ialah Re: Legend, Police Sentri, ToGather: Island, Battle of the Rim dan Iteno.

"Jepun dikenali sebagai hab pasaran permainan video di Asia. Ia satu daripada pasaran permainan video terbesar dunia dengan saiz AS$20.6 bilion (AS$1=RM4.18). Oleh itu, ia sempadan penting bagi syarikat perkhidmatan dan produk berkaitan permainan video dan kandungan kreatif Malaysia untuk menonjolkan keupayaan mereka di TGS 2021," katanya.

Naim berkata, permintaan terhadap permainan video di Jepun didorong terutamanya berikutan kehadiran lebih 70 juta pemain video termasuk pemain video dalam talian.

Menurutnya, rakyat Jepun turut memperuntukkan secara purata hampir tujuh jam seminggu untuk bermain permainan video, yang dikategorikan tinggi dalam kalangan pemain video Asia.

"Permainan kita dijangka mendapat sambutan baik daripada pemain video Jepun, penerbit, pembangun, media dan pempengaruh berikutan kualiti kandungan dan kemampuan dalam seni permainan, animasi, pembangunan semula dan pengkomersialan IP yang mampu ditawarkan oleh syarikat Malaysia," kata Naim.

Pesuruhjaya Perdagangan Matrade di Tokyo, Niqman Rafaee Mohd Sahar berkata, TGS adalah pameran ikonik dan pameran permainan video utama di Jepun dan Asia.

Ia memasuki ulang tahun ke-25 pada tahun ini sejak dimulakan pada 1996.

Disesuaikan dengan norma baharu di tengah-tengah cabaran akibat pandemik yang masih berlarutan, TGS tampil dengan acara hibrid iaitu penyertaan dalam talian seperti pameran maya, padanan perniagaan dalam talian, webinar dalam talian dan permainan percubaan dalam talian, selain penyertaan secara luar talian.

Penyertaan secara luar talian pula menawarkan lokasi fizikal kepada penggiat industri dan pengunjung tempatan untuk menikmati pengalaman permainan video baharu menerusi studio penstriman video dan permainan percubaan di dewan pameran.

Seramai 372 pempamer termasuk syarikat Malaysia akan menyertai acara ini secara dalam talian dan luar talian.

Antara penggiat utama yang menyertai TGS 2021 ialah Microsoft, Square Enix, Konami, BANDAI NAMCO, CAPCOM dan SEGA / ATLUS.

Jepun kekal sebagai rakan dagangan keempat terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan kira-kira AS$30 bilion setahun.

Jumlah dagangan dengan Jepun bagi Januari hingga Jun 2021 tumbuh 22.1 peratus kepada AS$18.04 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 7:00 AM