PANDEMIK menyebabkan ketidaktentuan pekerjaan dan kejutan pendapatan, terutama dalam kalangan pekerja berkemahiran rendah.
PANDEMIK menyebabkan ketidaktentuan pekerjaan dan kejutan pendapatan, terutama dalam kalangan pekerja berkemahiran rendah.
Oleh Mahanum Abdul Aziz


Kuala Lumpur: Bank Dunia menjangkakan jumlah rakyat Malaysia yang berada di bawah garis kemiskinan nasional iaitu AS$10 (kira-kira RM42) sehari akan berkurangan secara beransur-ansur dengan kadar kemiskinan kembali ke paras prapandemik menjelang 2022.

Bagaimanapun, ia berkata, pandemik menyebabkan ketidaktentuan pekerjaan dan kejutan pendapatan, terutama dalam kalangan pekerja berkemahiran rendah, pekerja tidak formal dan mereka yang berpendapatan rendah.

"Perlu menjadi perhatian adalah pemulihan yang tidak sekata, dengan populasi rentan berisiko terjejas secara tidak seimbang, menimbulkan ancaman selanjutnya terhadap ketidaksamaan," katanya dalam laporan Tinjauan Kemiskinan Makro Malaysia yang diterbitkan semalam.

Bank Dunia berkata, kadar dan trajektori pemulihan menuju ke depan akan bergantung kepada beberapa faktor iaitu program vaksinasi nasional dan keberkesanan langkah membendung pandemik.

Katanya, kemajuan positif program vaksinasi harus mengurangkan tekanan sistem penjagaan kesihatan dan akan memungkinkan kelonggaran langkah membendung penularan pandemik.

"Pada masa yang sama, ia perlu dilengkapi dengan mekanisme ujian dan penjejakan yang mantap untuk membantu mengurangkan risiko peningkatan pada masa depan," katanya.

Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 3.3 peratus bagi 2021, berbanding unjuran pada Jun lalu iaitu 4.5 peratus.

Bulan lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) turut menyemak turun unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara tiga hingga empat peratus bagi keseluruhan tahun ini, berbanding pertumbuan antara enam ke 7.5 peratus sebelum ini

Bank Dunia berkata, pelaksanaan berterusan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), peningkatan kewaspadaan dan keadaan pasaran pekerjaan yang lemah dijangka terus menjejaskan penggunaan swasta dan pertumbuhan keseluruhan ekonomi, terutama membabitkan sektor berkaitan perkhidmatan yang sangat terkesan oleh sekatan pergerakan.

Namun begitu, katanya, sektor luaran akan terus memberikan sokongan kepada ekonomi, terutama dalam eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) dan sarung tangan getah perubatan.

"Walaupun begitu, momentum dijangka sederhana dengan peningkatan semula kes Covid-19 di negara maju dan di China," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 7:00 AM