KHADIJAH
KHADIJAH

Kuala Lumpur: Agrobank menyasarkan untuk menambah baik kemudahan pemulihan ekonomi dan penjanaan nilai menerusi lima inisiatif utama pada 2022 bagi mengukuhkan sektor pertanian di Malaysia.

Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khadijah Iskandar berkata, bank itu merancang untuk mengukuhkan perniagaannya dan meneroka usaha niaga baharu dengan mewujudkan pemacu hasil dan mengembangkan sasaran ke pasaran yang lebih kompetitif dan berdaya saing.

"Adaptasi pada 2021 meletakkan Agrobank dalam keadaan lebih bersedia menghadapi krisis serta lebih lengkap untuk menyokong usaha pemulihan ekonomi dalam sektor pertanian. Oleh itu, bank juga akan menumpukan untuk menjana nilai pelanggan yang berdepan kesukaran sepanjang pandemik.

"Pandemik ini mengajar kami untuk bertahan dan terus membangunkan program dan inisiatif yang bersesuaian bagi memastikan kelangsungan dan kestabilan perniagaan mereka. Sekiranya situasi ini berulang, kami yakin akan mampu menghadapinya," katanya dalam kenyataan.

Lima inisiatif utama itu akan memfokus kepada pemulihan ekonomi yang akan dijana Agrobank menerusi pengagihan dana kerajaan yang diperhebat kepada kumpulan sasaran dan subsektor tertentu, membangunkan pemacu pendapatan baharu dan memacu inisiatif hijau dan mampan.

Inisiatif itu juga membabitkan pendigitalan untuk meningkatkan cadangan nilai dan produktiviti organisasi dan pengurusan kos untuk mengekalkan peningkatan pelaburan ke dalam keupayaan strategik.

"Sebagai contoh, apabila bercakap mengenai inisiatif utama berhubung pemulihan ekonomi, kami menjangka untuk menggandakan pencapaian ke arah pertumbuhan lebih besar untuk memenuhi keperluan Dasar Agromakanan Negara 2.0 dan menyokong mekanisasi berskala besar selaras dengan pelaksanaan Revolusi Perindustrian 4.0," katanya.

Beliau turut menegaskan kepentingan untuk beralih kepada perkhidmatan pendigitalan yang selaras dengan pembangunan teknologi fintech dan seiring perancangan bank-bank lain di negara ini.

"Bagaimanapun bagi Agrobank, ia akan dilaksanakan secara berperingkat, bergantung kepada keperluan pelanggan khususnya kumpulan B40 dan mereka yang tinggal di kawasan luar bandar," katanya.

Bagi suku ketiga 2021 yang berakhir 30 September 2021, bank itu mencatatkan pendapatan pembiayaan sebanyak RM510 juta dengan peningkatan 2.2 peratus berbanding RM499 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Khadijah berkata 2021 adalah tahun untuk Agrobank segera pulih daripada impak pandemik Covid-19 dan terus menyediakan penyelesaian kitaran balas menerusi pembiayaan.

Ini termasuk Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Penjana, Pemulih dan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Sasaran (TRRF) di bawah Bank Negara Malaysia serta bantuan pembiayaan (Pemerkasa dan moratorium) sebagai sokongan kewangan tambahan bagi memudahkan pelanggan komersial, konsumer dan mikronya memenuhi keperluan aliran tunai, katanya.

Sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan, beliau berkata Agrobank telah diberikan mandat sejak 1969 untuk menyokong kerajaan membangunkan sektor pertanian dan berpegang pada visi diperbaharuinya, 'Memperkasakan Pertanian Melangkaui Perbankan.'

"Agrobank berharap unjuran 2022 akan memberi manfaat kepada komuniti agro di Malaysia, terutamanya komuniti terpinggir dan kurang mendapat perhatian seperti golongan B40, wanita, orang kurang upaya dan asnaf," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 7:01 AM