TENG Chang Khim menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor. FOTO BERNAMA
TENG Chang Khim menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor. FOTO BERNAMA
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Sebanyak lima syarikat pemula di Selangor dikenalpasti berpotensi menjadi 'unicorn' pada masa akan datang.

Unicorn merujuk kepada syarikat pemula persendirian yang mempunyai nilai lebih AS$1 bilion.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian dan Industri Kecil dan Sederhana, Datuk Teng Chang Khim berkata syarikat 'soonicorn' iaitu syarikat yang berpotensi untuk menjadi 'unicorn' dan bernilai AS$100 juta adalah seperti Aerodyne, Dropee, Fave, TheLorry dan Naluri Hidup.

"Mencari lebih banyak syarikat berpotensi dalam hasrat untuk memupuk syarikat 'unicorn' di negeri ini adalah penting kerana ia akan menyumbang kepada inovasi, penciptaan pekerjaan dan seterusnya penciptaan kekayaan" katanya ketika menjawab soalan dari Edry Faizal Eddy Yusof (PH-Dusun Tua) yang bertanya mengenai berapa syarikat di Selangor yang berpotensi menjadi sebuah 'unicorn' di masa akan datang.

Pada tahun lalu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan lima syarikat 'unicorn' di negara ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

Teng berkata Carsome, platform e-dagang kereta bersepadu muncul sebagai syarikat 'unicorn' pertama di negara ini pada tahun lalu dengan nilai melebihi AS$1 bilion, yang sudah bertapak di Selangor dan beroperasi sejak 2015.

Beliau berkata oleh kerana populasi dan saiz pasaran Malaysia tidak seluas negara Asia Tenggara yang lain, usahawan tempatan perlu meluaskan pasaran mereka ke serantau untuk mencapai status 'unicorn'.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 1:52 PM