Dr Adham Baba. FOTO MOHAMAD FAHD RAHMAT
Dr Adham Baba. FOTO MOHAMAD FAHD RAHMAT
BERNAMA

Singapura: Ekonomi digital dijangka menyumbang 22.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan mewujudkan lebih 500,000 pekerjaan menjelang 2025, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata Malaysia telah memberikan keutamaan kepada meningkatkan penggunaan kaedah pengguna digital (e-dagang dan pembayaran digital); menarik, melatih dan mengekalkan tenaga kerja digital; menggalakkan usaha niaga keusahawanan digital; menyediakan gentian optik dan akses Internet jalur lebar mudah alih yang pantas serta menyelaraskan inovasi antara universiti, perniagaan dan pihak berkuasa digital.

"Tahap evolusi digital membantu mengatasi impak ekonomi daripada pandemik. Misalnya, lebih banyak ekonomi yang berkembang dari segi digital cenderung mendapat bahagian yang lebih besar daripada KDNK mereka daripada sektor teknologi tinggi apabila tenaga kerja boleh beralih kepada kerja jarak jauh dengan lebih mudah.

"Selain itu, mereka cenderung untuk lebih baik dalam memberikan perkhidmatan awam dalam talian berikutan infrastruktur yang baik, pengalaman dengan transformasi digital dalam kebanyakan sektor awam dan Internet yang boleh diakses dan mampu milik.

"Malah ada yang memanfaatkan evolusi digital mereka yang baik untuk pengesanan kontak, pengenalan pendedahan, pengumpulan data dan pemesejan kesihatan awam yang mengurangkan gangguan ekonomi dengan ketara," katanya dalam ucaptama pada Persidangan Inovasi Digital Asia Pasifik Huawei 2022 di sini hari ini.

Persidangan selama dua hari bertemakan "Innovation for a digital Asia Pacific" di Marina Bay Sands di sini menghimpunkan pemimpin industri, pihak berkepentingan utama, pelanggan utama dan organisasi berwibawa di seluruh rantau ini, berjumlah lebih 1,000 orang yang hadir secara fizikal dan lebih 30,000 peserta dalam talian.

Dr Adham turut berkongsi bahawa Malaysia baru-baru ini telah melancarkan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) untuk membantu membimbing transformasi negara menjadi sebuah negara yang dipacu secara digital, berpendapatan tinggi dan peneraju serantau dalam ekonomi digital.

"MyDigital akan terus mengukuhkan dan meningkatkan pembangunan ekonomi digital yang mampan dengan menyediakan platform kerjasama dan permintaan pasaran untuk penyelesaian digital yang dibangunkan dan digunakan oleh syarikat permulaan teknologi digital tempatan serta perusahaan kecil dan sederhana dalam bentuk peranti dan sistem dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar teknologi tinggi," katanya.

Dr Adham berkata semasa pandemik Covid-19, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperkenalkan infrastruktur vaksinasi kesihatan awam yang boleh digunakan semasa situasi pandemik kecemasan.

Sistem Pengurusan Vaksin (VMS) ialah sistem yang dibangunkan oleh MOSTI melalui agensinya, Mimos Bhd menggunakan platform blockchain hyperledger untuk membolehkan ahli farmasi, pegawai perubatan dan pegawai yang berkaitan menjejaki dan mengesan rantaian bekalan vaksin daripada pengeluar sehingga penerimanya (pesakit) menggunakan teknologi blockchain.

"VMS sedang dijalankan dan MOSTI bersedia untuk berbincang dengan mana-mana negara mengenai pengiktirafan sijil vaksin," katanya.

Beliau turut berkongsi mengenai Pusat Pengalaman 5G di kampus MOSTI, iaitu MRANTI, yang sedang membangunkan taman kecerdasan buatan (AI) pertama di Malaysia, sebuah plot seluas 300 ekar (121.4 hektar) yang akan menjadi platform untuk pembangunan penyelesaian AI dan terdapat juga pusat kecemerlangan teknologi dron dinamakan Area 57, simpanan tanah seluas lima ekar (2.02 hektar) untuk aktiviti penerbangan, ujian, penyelidikan dan pembangunan.

Sementara itu, katanya melalui kerjasama Mimos, Maxis dan Huawei Malaysia, Hab Inovasi AI, kemudahan yang dilengkapi dengan infrastruktur rangkaian 5G dan instrumen AI, telah ditubuhkan untuk mempercepatkan pewujudan kes penggunaan industri yang diupayakan oleh 5G, AI dan teknologi maju lain dalam negara.

Dr Adham berkata Malaysia melihat matlamat pembangunan mampan dalam gambaran yang lebih besar untuk menyokong kesihatan planet, yang menjadi lebih penting berbanding sebelum ini.

Katanya MOSTI akan menerajui penggubalan pelan tindakan kebangsaan mengenai kesihatan planet menggunakan sains, teknologi dan inovasi untuk menguruskan alam sekitar.

Malaysia, melalui MOSTI, sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama strategik dengan institusi global dalam bidang pendigitalan, katanya.

"Misalnya, Mimos melalui Program Transformasi Digitalnya dengan Huawei memberi tumpuan kepada pembangunan kurikulum dan program kursus untuk teknologi dan kemahiran masa depan. Program ini merangkumi latihan kemahiran seperti dalam 5G, AI, Internet of Things dan data raya.

"Melihat kepada manfaat yang tiada had yang ditawarkan oleh teknologi pendigitalan, Malaysia mengalu-alukan kerjasama dalam program pendigitalan secara dua hala dan pelbagai hala," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 4:59 PM