Zaharudin Daud
Zaharudin Daud
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kumpulan MNRB Holdings Berhad (MNRB) peka terhadap risiko daripada varian Delta yang berpotensi mengganggu pemulihan ekonomi di seluruh dunia namun, tetap optimis dengan prospek pasaran khususnya melalui pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB, Zaharudin Daud berkata, dengan adanya PPN dan kadar vaksinasi negara yang tinggi, pihaknya berharap ia dapat memacu pemulihan ekonomi negara.

"Dengan perkembangan ini, Kumpulan MNRB yakin untuk terus mengukuhkan perniagaan dan bersedia dengan pemulihan ekonomi yang dijangka dapat memastikan Kumpulan muncul lebih kukuh pada tahun kewangan 2022," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, MNRB mencatatkan peningkatan 34.9 peratus dalam Premium Kasar dan Sumbangan Takaful iaitu RM675.4 juta berbanding RM500.8 juta dalam tempoh sama meskipun menghadapi cabaran ekoran penularan kes Covid-19 dan penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Impak pandemik Covid-19 termasuk kemunculan varian membimbangkan (VOC) baharu akan terus memberi cabaran kepada persekitaran operasi.

"Namun, anak-anak syarikat kami terus cekal dan memberi tumpuan kepada ketahanan operasi dan hasilnya menyumbang kepada peningkatan Premium Kasar dan Sumbangan Takaful," katanya.

Zaharudin berkata, Sumbangan Kasar Takaful Am Kumpulan, Takaful Ikhlas General Berhad (Takaful Ikhlas General) meningkat 23 peratus kepada RM94.0 juta pada suku pertama tahun ini, berbanding RM76.4 juta yang direkodkan suku pertama tahun lalu yang didorong oleh pertumbuhan saluran Agensi dan Bankatakaful.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 7:47 AM