Datuk Rudy Rodzila Che Lamin.
Datuk Rudy Rodzila Che Lamin.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: MNRB Holdings Bhd (MNRB) mengumumkan pelantikan Datuk Rudy Rodzila Che Lamin sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi subsidiari takaful amnya, Takaful Ikhlas General Bhd (Takaful Ikhlas General), berkuat kuasa hari ini.

Dalam satu kenyataan, MNRB berkata, Rudy Rodzila mengambil alih jawatan berkenaan daripada Eddy Azly Abidin, yang bersara berkuat kuasa pada 29 November 2021 selepas menerajui syarikat selama tiga tahun.

"Rudy Rodzila membawa ke Takaful Ikhlas General pengalaman selama 28 tahun dalam industri kewangan, perbankan dan insurans," katanya.

Mengulas mengenai pelantikan itu, Pengerusi MNRB Datuk Johar Che Mat berkata Lembaga Pengarah yakin dengan pengalaman Rudy Rodzila yang luas serta perspektifnya yang mendalam dalam sektor institusi kewangan selain dapat memimpin Takaful Ikhlas ke fasa baharu pertumbuhan perniagaan.

"Kami percaya pengetahuan dan pengalaman beliau dalam industri dapat menyumbang kepada gabungan kualiti dan kepakaran yang sempurna untuk jawatan baharu beliau," katanya.

Johar berkata Lembaga Pengarah juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Eddy Azly atas sumbangan dan dedikasi beliau sepanjang berkhidmat bersama Takaful Ikhlas General, terutamanya dalam menangani cabaran akibat pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 5:00 PM