KAD Prabayar Visa Kiple adalah hasil kerjasama Kiple dan Visa.
KAD Prabayar Visa Kiple adalah hasil kerjasama Kiple dan Visa.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


KIPLEPAY Sdn Bhd (Kiple), anak syarikat milik penuh Green Packet Berhad dengan kolaborasi bersama syarikat teknologi pembayaran global terkemuka Visa melancarkan kad prabayar pertama seumpamanya dalam usaha memacu aspirasi Malaysia ke arah pembentukan masyarakat tanpa tunai.

 Kad Prabayar Visa Kiple adalah hasil kerjasama Kiple dan Visa yang diumumkan pada 2020 dan dibangunkan di bawah ekosistem Dompet Sebagai Perkhidmatan (WaaS) Kiple.

 Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kiplepay, Ricky Lew berkata, sebagai penyedia perkhidmatan digital dan kewangan, Kiple berada di kedudukan terbaik untuk terus membantu perniagaan dan komuniti dalam peralihan ke arah transaksi tanpa tunai.

  Katanya, syarikat melihat kerjasama strategik bersama Visa ini sebagai usaha bersepadu untuk mencapai semua lapisan rakyat Malaysia dan untuk memanfaatkan penerimaan rangkaian niaga Visa bagi menggalakkan pembayaran tanpa tunai.

"Didorong matlamat ke arah menyediakan penyelesaian lancar untuk pelbagai segmen di Malaysia, jalinan kerjasama terunggul ini adalah bukti komitmen kami demi memperkasakan pengguna supaya turut bersama dalam agenda tanpa tunai yang selaras aspirasi kerajaan," katanya dalam kenyataan.

Sebagai penyelesaian yang mudah diakses dan selamat, Kad Prabayar Visa Kiple membolehkan pengguna seperti pelajar berbelanja tanpa tunai tanpa was-was, di samping memberi kemudahan kepada perusahaan untuk mempercepatkan penyelesaian e-pembayaran bagi memenuhi permintaan perkhidmatan tanpa tunai yang semakin meningkat.

  Kad prabayar ini menyediakan akses segera buat pengguna di lebih daripada 70 juta lokasi perniagaan di seluruh dunia dan dapat digunakan di kedai runcit, kedai dalam talian dan aplikasi mudah alih.

Pelajar kini berpeluang memiliki kad yang terpaut dengan kad pelajar KipleUNI mereka melalui e-dompet Kiple yang membolehkan mereka menikmati lebih banyak ganjaran seperti pulangan tunai dan diskaun daripada peniaga.

 Penyelesaian ini langkah terbaik untuk perniagaan yang ingin mencipta e-dompet mereka tersendiri, dengan kelebihan tambahan akses Kad Prabayar Visa Kiple ke 70 juta rangkaian perniagaan yang merangkumi lebih daripada 200 negara dan wilayah. 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 7:14 AM