TELEKOM Research & Development Sdn Bhd (TM R&D), cabang inovasi Telekom Malaysia Berhad (TM), baru-baru ini menggondol anugerah Penyedia Perkhidmatan Infrastruktur Digital Paling Inovatif di Malaysia untuk penyelesaiannya yang dikenali sebagai Camelia di Global Business Outlook Awards 2021 yang berpusat di United Kingdom.

  Anugerah ini diberikan kepada TM R&D sebagai pengiktirafan atas pencapaiannya dalam membangunkan Camelia yang menjadi satu daripada pemacu transformasi digital bagi pengendali rangkaian untuk mengendalikan proses menyeluruh bagi jaminan perkhidmatan di TM.

   Ketua Pegawai Eksekutif TM R&D, Dr Sharlene Thiagarajah berkata, kemenangan anugerah ini di peringkat global menggambarkan komitmen berterusan kumpulan untuk membangunkan penyelesaian bersama TM.

  Katanya, ini juga sebagai sebahagian daripada usaha kolaborasi TM untuk memastikan kejayaan penerimaan Kecerdasan Buatan (AI) dan inovasi digital dalam kalangan pihak berkepentingan.

  "Terima kasih pasukan Operasi Rangkaian, Pengalaman Pelanggan dan Teknologi Maklumat & Digital di TM atas sokongan berterusan mereka dan untuk mengguna pakai Camelia dalam operasi mereka yang kami percaya akhirnya membawa kepada pengalaman pelanggan yang dipertingkatkan.

  "Pengiktirafan ini memberi kami semangat dan mendorong kami meneroka lebih banyak inovasi untuk Kumpulan TM bagi memberi perkhidmatan kepada masyarakat, perniagaan, industri dan kerajaan yang lebih digital, ke arah memacu Digital Malaysia," katanya dalam kenyataan.

  Camelia adalah platform analitik pintar yang dapat memberikan situasi prestasi rangkaian, diagnostik dan pengenalpastian sebarang kerosakan, serta dapat meramal potensi gangguan perkhidmatan dan talian sehingga 30 hari lebih awal.

  Selain itu, Camelia turut memberikan peringatan amaran awal yang membantu mengubah pemproses daripada memproses pengesanan masalah bersifat reaktif kepada bersifat proaktif dengan tujuan peningkatan kualiti perkhidmatan dan penyelesaian insiden lebih cepat.  

  Sebagai pemacu, Camelia diintegrasikan dengan sistem operasi lain untuk memantau semua talian pelanggan selama 24 jam dan memberikan pengesanan awal.

  Penyaringan awal turut mampu mengklasifikasikan masalah sama ada berlaku pada peringkat elemen rangkaian fizikal atau peringkat perkhidmatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 7:10 AM