GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Telekom Research and Development Sdn Bhd (TM R&D), cabang inovasi Telekom Malaysia Bhd (TM) baru-baru ini menggondol anugerah Penyedia Perkhidmatan Infrastruktur Digital Paling Inovatif di Malaysia untuk penyelesaiannya dikenali sebagai CAMELIA di Global Business Outlook Awards 2021 yang berpusat di United Kingdom.

Dalam satu kenyataan, TM berkata, anugerah itu diberikan kepada TM R&D sebagai pengiktirafan atas pencapaiannya dalam membangunkan CAMELIA, yang akan menjadi satu daripada pemacu transformasi digital bagi pengendali rangkaian untuk mengendalikan proses menyeluruh terhadap jaminan perkhidmatan di TM.

"CAMELIA merupakan sebuah platform analitik pintar yang dapat memberikan situasi prestasi rangkaian, diagnostik dan pengenalpastian sebarang kerosakan, serta dapat meramal potensi gangguan perkhidmatan dan talian sehingga 30 hari lebih awal.

"Selain itu, CAMELIA turut memberikan peringatan amaran awal yang akan membantu mengubah pemproses dari memproses pengesanan masalah bersifat reaktif kepada bersifat proaktif dengan tujuan peningkatan kualiti perkhidmatan dan penyelesaian insiden yang lebih cepat," jelas TM.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TM R&D Dr. Sharlene Thiagarajah berkata anugerah itu menggambarkan komitmen berterusan untuk membangunkan penyelesaian bersama-sama dengan kumpulan TM sebagai sebahagian daripada usaha kolaborasi untuk memastikan kejayaan penerimaan kecerdasan buatan (AI) dan inovasi digital dalam kalangan pihak berkepentingan.

"Pengiktirafan ini memberi kami semangat dan mendorong kami untuk meneroka lebih banyak inovasi kumpulan TM bagi memberi perkhidmatan kepada masyarakat, perniagaan, industri dan kerajaan yang lebih digital, ke arah memacu Digital Malaysia," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 5:51 PM