NOOR Kamarul  berkata TM R&D akan berkongsi kes kajian berkaitan teknologi data bersama MDEC.
NOOR Kamarul berkata TM R&D akan berkongsi kes kajian berkaitan teknologi data bersama MDEC.

TELEKOM Malaysia Berhad (TM) melalui cabang inovasinya, TM Research & Development (TM R&D) dilantik sebagai Rakan Teknologi Data bagi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di bawah Program Usahasama Teknologi Data.

Dengan pelantikan itu, TM R&D akan menyumbang kepakarannya bagi mempercepat penerimaan teknologi data dan membangunkan Perusahaan Keputusan Berdasarkan Data (DDD) atau Data-Driven Decision Enterprises, memudahkan pembangunan bakat dan kolaborasi antara industri dengan akademik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin berkata, pelantikan itu sememangnya satu lagi pencapaian penting buat pihaknya dan menepati peranan unik TM sebagai pemacu Digital Malaysia.

"Sebagai Rakan Teknologi Data kepada MDEC, TM R&D akan berkongsi kes kajian berkaitan teknologi data bersama MDEC bagi mewujudkan minat dalam kalangan perusahaan perniagaan untuk menerima teknologi data ini.

"Di Kumpulan TM, kami percaya inovasi digital amat penting kepada kelestarian perniagaan dalam mendepani persekitaran masa kini yang sentiasa berevolusi.

"Oleh yang demikian, kami meneroka peluang dan bersedia bekerjasama dengan rakan strategik untuk merealisasikan aspirasi ini bagi memberi khidmat kepada masyarakat dan gaya hidup lebih digital," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, TM R&D, Dr Sharlene Thiagarajah berkata, pihaknya gembira dengan pelantikan ini dan bersedia untuk bekerjasama dengan MDEC dalam membawakan inovasi digital yang akan mencipta nilai buat rakyat Malaysia di seluruh negara.

"Kami akan terus meningkatkan usaha untuk turut serta dalam inisiatif transformasi digital bagi menyokong aspirasi kerajaan ke arah memacu ekonomi digital," katanya.

Pada Mei lalu, TM R&D dan MDEC berganding bahu dalam melancarkan platform pertukaran data sehenti di bawah inisiatif MDEC #DigitalVsCovid bagi memudahkan dan mempercepatkan perkongsian data.

Objektifnya adalah untuk memperkukuh usaha kajian dalam memerangi wabak Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 7:30 AM