Surina Shukri
Surina Shukri
Bisnes HM

Kuala Lumpur: Lembaga Pengarah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mengumumkan Surina Shukri melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif berkuatkuasa pada 31 Ogos ini.

MDEC dalam kenyataan berkata, Surina melepaskan jawatan berkenaan bagi menumpukan perhatian kepada perkara lain yang menarik minatnya.

Surina yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MDEC pada 16 Januari 2019 dan telah dinamakan sebagai seorang daripada figura berpengaruh dalam senarai World's 50 Most Influential People Revolutionising Governance in the Agile 50 oleh Apolitical and the World Economic Forum's Global Future Council on Agile Governance pada tahun 2020.

Beliau telah mengawalselia kejayaan misi 'Reinvent' dan menerusi pelaksanaannya, ia telah menjadikan MDEC sebagai agensi yang cekap, efisien dan profesional serta beroperasi dengan penuh integriti, menyampaikan inisiatif berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada rakyat, perniagaan dan pelabur.

Pengerusi MDEC, Datuk Wira Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, Surina menjadi penyumbang utama dalam pembentukan agenda negara untuk digital dan teknologi, sejajar dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital (MyDigital) dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara.

"Bagi pihak Lembaga Pengarah MDEC, saya merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada Surina atas sumbangan beliau dalam menjayakan misi 'Reinvent' kami dan komitmen beliau yang tidak pernah berbelah bahagi terhadap agenda transformasi negara.

"Lembaga Pengarah MDEC mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau," katanya.

Sementara itu, Surina berkata, beliau berbesar hati dapat menerajui MDEC dan ekonomi digital negara ke hadapan menerusi perubahan yang tidak dijangka dan cabaran signifikan selama dua tahun tujuh bulan di MDEC.

"Saya amat berbangga dengan apa yang telah dicapai oleh MDEC ketika ini, dengan memfokus kepada pengukuhan Malaysia yang tercinta ini sebagai Nadi Digital Asean.

"Saya yakin pasukan MDEC akan terus melakar kejayaan di masa hadapan untuk melaksanakan mandat yang telah diamanahkan demi rakyat dan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 6:10 PM