SURINA
SURINA
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan meneruskan kerjasama dengan kementerian dan rakan strategik bagi menyokong program graduan komputer dan teknologi digital di Institut Teknologi Digital Premier (PDTI) serta institut kemahiran lain.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, MDEC bersedia mengisi peluang pekerjaan yang memerlukan kemahiran teknologi digital.

Katanya, ketika ini teknologi digital memainkan peranan penting dalam ekonomi.

"Oleh itu, wujud keperluan mendesak menyediakan graduan baharu atau tenaga kerja sedia ada untuk sektor berkenaan.

"Tahun lalu menerusi penganjuran #MyDigitalworkforce MDEC menyaksikan lebih 10,000 permohonan dikemukakan.

"#MyDigitalworkforce Jobs MDEC adalah program memadankan peluang kerjaya digital dengan bakat yang berpotensi.

"Sama ada graduan baharu, bakat berpengalaman atau sedang berada di persimpangan kerjaya, platform ini akan menawarkan pelbagai peluang pekerjaan digital yang sudah diagregatkan oleh platform rakan kongsi agensi pekerjaan," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, selain itu antara usaha awal yang MDEC sediakan termasuk platform Mari Belajar Digital yang dilancarkan dengan kerjasama Coursera yang menawarkan sebanyak 3,800 kursus secara percuma.

Beliau berkata, inisiatif ini menunjukkan hasil yang cukup memberangsangkan apabila menerima lebih 21,000 daripada permohonan.

Surina berkata, malah menerusi direktori Latihan Kemahiran Digital MDEC, penyenaraian kursus berkaitan kemahiran digital yang mempunyai permintaan tinggi di dalam pasaran turut disediakan.

"Kursus dan pensijilan yang disenaraikan ini sudah diiktiraf oleh pakar industri digital dan dirangka khusus sebagai sumber rujukan untuk rakyat Malaysia memilih kursus yang memenuhi keperluan kerjaya di dalam ekonomi digital," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 7:00 AM