Mahanum Abd Aziz dan Hazwan Faisal Mohamad dan Nora Mahpar


PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sedang merangka Koridor Raya Multimedia (MSC) versi 2.0 dan dijangka akan dilancarkan pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, MSC sedia ada sudah berusia lebih 23 tahun iaitu sejak 1996 dan ia kini memerlukan nafas baharu bagi membolehkannya untuk terus berdaya saing.

“Antara agenda utama di dalam MSC 2.0 ini ialah untuk menarik bakat dan membangunkannya. Kami menerima banyak maklum balas daripada syarikat yang berminat untuk bertapak di sini.

“Kita mempunyai infrastruktur yang lengkap dan ketika ini sedang mengusahakan langkah untuk membangunkan bakat,” katanya ketika ditemui di luar forum Invest Malaysia 2019, di Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri

Sementara itu, Surina berkata, MDEC akan menubuhkan sebuah majlis baharu khusus untuk syarikat pemula niaga atau ‘startup’ bulan depan, bermatlamat membantu mengukuhkan lagi kehadiran syarikat sedemikian di Malaysia.

Beliau berkata, penubuhan majlis ini pernah disuarakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo pada September tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 7:40 PM