GARRY Chua
GARRY Chua

Kuala Lumpur: Kira-kira 90 peratus pengusaha perniagaan makanan dan minuman (F&B) berisiko menutup perniagaan sekiranya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan secara berterusan sehingga akhir tahun ini.

Ketua Bahagian F&B Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA), Datuk Seri Garry Chua berkata, kebanyakan peniaga F&B ketika ini hanya meneruskan operasi dengan aliran tunai tidak stabil.

Beliau berkata, pelaksanaan PKP pada tahun lalu diikuti beberapa siri PKP menjejaskan pendapatan serta simpanan peniaga.

Katanya, kebanyakan peniaga bergantung kepada simpanan dan pinjaman selain bantuan kewangan daripada kerajaan melalui beberapa pakej rangsangan.

"Namun, jika berterusan ia mengakibatkan keadaan menjadi lebih parah, sekali gus memaksa peniaga F&B, terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menutup perniagaan.

"Mereka tiada pilihan. Malah, banyak peniaga F&B ketika ini menutup operasi mereka sepenuhnya atau sebahagiannya," katanya selepas majlis perasmian penubuhan Bahagian F&B MRCA secara maya, semalam.

Majlis dirasmikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Chua berkata, jika sekatan pergerakan penuh berpanjangan dan negara masih tidak dapat beralih ke fasa ketiga atau keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan pantas, kerajaan perlu memberikan pelbagai bantuan kepada usahawan F&B selain meneliti semula kebenaran beroperasi kepada sektor penting dan tidak penting.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 7:44 AM