EL Aziizie merancang buka  cawangan di Cyberjaya dan Putrajaya pada masa akan datang.
EL Aziizie merancang buka cawangan di Cyberjaya dan Putrajaya pada masa akan datang.
Hajar Umira Md Zaki

Kuala Lumpur: Polperro Group (Polperro) terus mengorak langkah dalam bidang makanan dan minuman (F&B) walaupun berdepan kesukaran akibat pandemik Covid-19.

Pengarah Polperro, El Aziizie Maskam berkata, pihaknya menyaksikan kemerosotan keuntungan sehingga 60 peratus ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bagaimanapun, Alhamdulillah kami mencatatkan prestasi baik bagi operasi perkhidmatan pesanan dalam talian di mana ia merekodkan peningkatan sehingga enam kali ganda.

"Kami juga masih kekal dalam perniagaan makanan kerana dengan adanya dapur pusat, kami dapat menjimatkan kos operasi," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, sebelum pandemik melanda, pihaknya meletakkan sasaran untuk membuka dua cawangan baharu Polperro setiap tahun namun, ia mungkin ditangguhkan buat seketika.

"Buat masa ini kami hanya fokus untuk mengekalkan perniagaan kami dalam industri F&B dengan menyelia tujuh cawangan di Lembah Klang.

"Kami cuba dalam mempelbagaikan cara promosi dan menjalankan proses sanitasi sebaik mungkin serta buat penjarakan supaya restoran kami selamat untuk pelanggan," katanya.

Setakat ini, Polperro mempunyai empat francais dengan kerjasama Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) sejak tahun lalu.

El Aziizie berkata, pihaknya turut mempunyai perancangan untuk mengembangkan cawangan Polperro ke Cyberjaya dan Putrajaya pada masa akan datang.

Usahawan PKS dijemput menyertai komuniti sokongan perniagaan dan mendaftar sebagai AhliUSB di www.omniausb.com.my atau hubungi 013-717 2858.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 7:01 AM