Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 26 peratus tahun ke tahun kepada RM867.4 bilion dalam tempoh lima bulan pertama 2021, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Lebihan dagangan pula melonjak 112.2 peratus kepada RM92.79 bilion dengan eksport mengembang 31.1 peratus kepada RM480.09 bilion, sementara import meningkat 20.1 peratus kepada RM387.31 bilion.

Kementerian itu berkata, prestasi perdagangan Malaysia mengekalkan trend peningkatan pada Mei lalu dengan jumlah perdagangan berkembang sebanyak 48.7 peratus kepada RM170.88 bilion berbanding Mei tahun lalu.

"Eksport melonjak 47.3 peratus kepada RM92.31 bilion, pertumbuhan tahun ke tahun yang kesembilan bulan berturut-turut direkodkan sejak September tahun lalu. Import naik 50.3 peratus kepada RM78.57 bilion dan lebihan dagangan mengukuh 32.3 peratus kepada RM13.74 bilion," katanya dalam satu kenyataan.

Miti menambah pertumbuhan eksport disumbangkan terutama oleh permintaan yang kukuh bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E) khususnya semikonduktor yang diperlukan untuk memenuhi keperluan bekerja dari rumah serta pendigitalan perniagaan, keluaran getah serta keluaran petroleum.

Eksport ke semua pasaran utama iaitu Asean, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun mencatatkan pertumbuhan positif.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing berkurangan sebanyak 10.4 peratus, 12.6 peratus, 7.8 peratus dan 32.5 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 6:10 AM