MITI melaporkan jumlah perdagangan Malaysia pada April 2023 menyusut 14.5 peratus kepada RM198 bilion.
MITI melaporkan jumlah perdagangan Malaysia pada April 2023 menyusut 14.5 peratus kepada RM198 bilion.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Momentum perdagangan Malaysia dijangka lemah separuh kedua tahun ini didorong oleh kesan ekonomi global yang semakin mencabar.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, walaupun dari segi perdagangan agak lemah, namun peningkatan dapat dilihat dari aspek pelaburan.

"Apa yang berlaku secara global bagi Malaysia kita dapat lihat peningkatan pelaburan, tetapi dari segi perdagangan, disebabkan ekonomi global semakin mencabar, angka perdagangan berkurangan.

"Penurunan perdagangan ini bukan sahaja dialami oleh Malaysia. Jika kita lihat suku pertama tahun ini, negara seperti Singapura dan Indonesia turut mencatatkan penurunan nilai perdagangan.

"Nilai perdagangan bergantung kepada pertumbuhan ekonomi negara, namun fokus kita sekarang adalah untuk memastikan terutama Matrade terus mempromosikan eksport negara dan mencari peluang baru bagi mengeksport barangan tempatan.

"Pada masa sama juga kita akan memfokus untuk menarik pelaburan jangka masa panjang kerana dari segi aktiviti pelaburan kita dapat lihat semakin banyak pelabur yang datang untuk melabur ke Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelancaran Ekspedisi Perpaduan Watikah Kemerdekaan 66 London-Kuala Lumpur 2023 (EPWK66-2023) di sini, semalam.

Sebelum ini, Miti melaporkan jumlah perdagangan Malaysia pada April 2023 menyusut 14.5 peratus kepada RM198 bilion sejajar dengan permintaan global yang perlahan, seiring dengan prestasi negara serantau lain yang turut mencatatkan pertumbuhan negatif pada bulan lalu.

Eksport pada bulan berkenaan pula berjumlah RM105.42 bilion, merosot 17.4 peratus manakala import berkurang sebanyak 11.1 peratus kepada RM92.58 bilion.

Berbanding Mac 2023, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan negara masing masing merekodkan penurunan sebanyak 14.9 peratus, 18.7 peratus, 10.1 peratus dan 51.9 peratus.

Bagaimanapun, Malaysia mencatatkan lebihan dagangan yang ke-36 bulan berturut-turut sejak Mei 2020, dengan nilai RM12.85 bilion pada April 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 7:08 AM