PENIAGA barangan plastik, Lip Man Chew menutup awal kedainya di Kampung Cina, Kuala Terengganu sejajar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, semalam.
PENIAGA barangan plastik, Lip Man Chew menutup awal kedainya di Kampung Cina, Kuala Terengganu sejajar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, semalam.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) perlu terus berganding bahu bagi mempercepat pemulihan ekonomi yang kukuh akibat impak pandemik Covid-19 di rantau ini.

   Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Apec tidak boleh memerangi pandemik Covid-19 secara sendirian, sebaliknya perlu mengoptimumkan semua alat dasar dan bertindak secara kolektif dalam memastikan perdagangan berterusan tanpa gangguan sepanjang tempoh mencabar ini.

  Katanya, tindakan berani diperlukan dalam tiga bidang iaitu menggunakan perdagangan sebagai alat untuk bertindak balas terhadap pandemik Covid-19, menyokong peraturan berasaskan sistem perdagangan pelbagai hala dan membentuk kemakmuran masa depan dengan memperkukuhkan usaha Apec dalam pembaharuan struktur, ekonomi digital dan pelaksanaan Deklarasi Lima mengenai Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP).

   "Oleh itu, Malaysia menantikan permulaan rundingan berasaskan teks mengenai pengecualian sementara untuk peruntukan tertentu dalam Perjanjian mengenai Aspek Hak Harta Intelek berkaitan Perdagangan (TRIPS) Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) berikutan  ini akan meningkatkan kemampuan dan kebolehcapaian kepada vaksin Covid-19," katanya dalam kenyataan, semalam.

  Kenyataan itu dikeluarkan susulan mesyuarat Menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan Apec Ke-27 secara maya yang diadakan pada 5 Jun dan dihadiri oleh delegasi Malaysia yang diketuai Azmin.

 Menteri turut menekankan keperluan Apec untuk mengoptimumkan semua alat dasar dan bertindak sebagai kumpulan dalam memastikan perdagangan terus berjalan tanpa gangguan dalam tempoh sukar ini.

Mengakui kepentingan inovasi dan pendigitalan, Azmin menggesa pegawai  untuk mempercepatkan penggunaan pendigitalan, dengan mengambil kira cabaran mendesak yang dihadapi oleh Apec semasa pandemik.

  Sehubungan itu, beliau menggalakkan ekonomi Apec untuk berkongsi data yang berkaitan dan maklumat berhubung Covid-19 melalui Pertukaran Terkini dan Segera  Secara  Maya mengenai Covid-19 Apec, platform perkongsian maklumat digital yang dilancarkan tahun lalu.

  Mengenai keutamaan Malaysia untuk mencapai hasil yang kukuh daripada Persidangan Menteri-Menteri WTO Ke-12, Azmin berkata, penting untuk organisasi itu mengembalikan fungsi badan rayuan sepenuhnya bagi melindungi keupayaan untuk menjangka dan kestabilan sistem perdagangan pelbagai hala.

  Beliau turut menekankan kepentingan untuk memuktamadkan rundingan mengenai subsidi perikanan, yang akan memberi isyarat jelas WTO boleh memberikan hasil pelbagai hala.

  Di Malaysia, Azmin berkata, subsidi untuk golongan sasaran dengan matlamat utama   meningkatkan kehidupan ribuan nelayan berpendapatan rendah yang bergantung kepada penangkapan ikan kecil-kecilan.

  "Bagaimanapun, layanan istimewa  dan berbeza perlu kekal sebagai aspek penting dalam rundingan,"  katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 9:59 AM