Azmin bersama pasukannya selepas mempengerusikan VMRT. Foto Ihsan MITI
Azmin bersama pasukannya selepas mempengerusikan VMRT. Foto Ihsan MITI
Suliati Asri

MALAYSIA menyambut baik kenyataan Menteri Bertanggungjawab Perdagangan (MRT) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada Sabtu lalu yang mengatakan dengan jelas komitmen APEC menyokong usaha Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) ke arah usaha dalam inisiatif kemudahan perdagangan serta memperkukuhkan daya tahan rantaian bekalan di APEC.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan dikeluarkan di Kuala Lumpur hari ini mengatakan bahawa penyataan itu juga mengakui pentingnya persekitaran perdagangan dan pelaburan bebas, terbuka, adil, tidak diskriminasi, telus dan dapat diramalkan di APEC untuk memacu pemulihan ekonomi dalam masa mencabar ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Pengerusi MRT bagi 2020 berkata, beliau akan memberikan kepimpinan dan kerjasama rapat dengan MRT untuk memudahkan permuafakatan yang membawa kepada penerbitan penyataan MRT maya yang merujuk kepada Deklarasi Kemudahan Pergerakan Barang-Barang Penting di APEC.

"Malaysia menyambut baik deklarasi itu kerana ia melambangkan komitmen yang tidak berbelah bahagi di rantau ini bagi memastikan gangguan minimum terhadap aliran pergerakan barang penting, terutamanya ketika krisis ini.

"Deklarasi ini juga kejayaan bermakna kerana Malaysia pencadang deklarasi berkenaan," katanya dalam kenyataan itu.

Selain itu, Malaysia turut menyambut baik kemajuan membabitkan inisiatif lain dalam APEC sebagai maklum balas terhadap pandemik Covid-19 seperti usaha fasilitasi pergerakan penduduk, platform digital bagi pertukaran maklumat serta cadangan bagi mewujudkan dana kecil APEC bagi menangani Covid-19 serta kemudahan pemulihan ekonomi.

"Malaysia dipertanggungjawabkan sebagai ekonomi bagi menerajui draf Visi Pasca 2020 yang akan berperanan sebagai dokumen rujukan APEC bagi tahun akan datang, didorong gesaan menteri mengenai visi yang bermakna dan mampu dicapai," katanya.

MRT APEC yang diadakan sepenuhnya secara maya dipengerusikan Mohamed Azmin adalah kali pertama dalam sejarah dan prestasi luar biasa bagi Malaysia sebagai tuan rumah APEC 2020.

Mesyuarat MRT maya ini juga menunjukkan kepimpinan Malaysia menerajui kebiasaan baru dalam APEC dengan memberikan kepimpinannya dalam format digital sepenuhnya kepada 21 ekonomi APEC.

Selain itu, mesyuarat sama turut disertai oleh Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) serta pemerhati dari Sekretariat ASEAN dan Majlis Kerjasama Ekonomi Pasifik (PECC).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 11:13 PM