SURINA
SURINA

Kuala Lumpur: Sebanyak 66 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat peringkat pertengahan diberikan Geran Automasi Pintar (SAG) kerajaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) 2020.

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berkata, geran berjumlah RM6.2 juta itu diberikan kepada perniagaan berdaftar khususnya dalam aktiviti tradisional atau bukan teknologi daripada sektor perkhidmatan.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, kesan sosioekonomi akibat pandemik global memaksa perniagaan berfikir kaedah digital untuk memajukan rancangan digitalisasi mereka.

"Bagi menyokong kelompok ini, kerajaan menerusi MDEC menyediakan geran padanan ini khusus untuk PKS dan syarikat kategori pertengahan bagi membolehkan mereka membangunkan kemampuan digital.

"Ingin dijelaskan tujuan SAG untuk memastikan syarikat ini bersedia melakukan lonjakan digital pada era IR4.0 .

"Ia sebahagian daripada usaha MDEC untuk merealisasikan visi Malaysia 5.0 dan seterusnya membuka ekonomi," katanya satu dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran serta Ketua Jenama dan Pelaburan Digital MDEC, Raymond Siva berkata, geran padanan berasaskan hasil akan membantu syarikat ini mempercepatkan automasi dan mencapai keputusan yang produktif, seperti peningkatan pendapatan; penjimatan kos perniagaan; pengurangan kitaran masa proses dan jam kerja yang diluangkan serta mewujudkan sumber pertumbuhan baharu.

"Setiap pemohon yang berjaya diperuntukkan sehingga 50 peratus daripada jumlah kos projek mereka, tertakluk kepada had siling RM200,000 atau yang mana terendah melalui geran padanan ini.

"Ini bererti setiap pemohon yang berjaya akan membayar sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah kos projek pendigitalan mereka dan seterusnya, menerima jumlah selebihnya berdasarkan hasil pencapaian kejayaan penting yang dipersetujui," katanya.

Menurutnya, kesemua 66 penerima SAG yang diluluskan itu adalah dari seluruh Malaysia, termasuk penyedia perkhidmatan daripada perdagangan borong dan runcit (30 peratus), perkhidmatan am (24 peratus) dan perkhidmatan profesional (14 peratus).

Sektor-sektor lain terdiri daripada pengangkutan dan penyimpanan, pelancongan, pendidikan, penjagaan kesihatan, makanan dan minuman, kewangan dan insurans dan hartanah dan pembinaan.

Sejak dilancarkan, inisiatif ini hanya difokuskan kepada memperkasakan penggunaan digital dalam kalangan perniagaan, yang juga aspek penting daripada tiga tonggak rangka kerja strategik MDEC: pekerjaan digital, perniagaan digital dan pelaburan digital.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2021 @ 7:01 AM