ANUGERAH itu mengiktiraf usaha transformasi digital  HSBC.
ANUGERAH itu mengiktiraf usaha transformasi digital HSBC.

HSBC Malaysia diiktiraf Bank Digital Terbaik Tahun ini di Malaysia pada Anugerah Digital Triple A 2021 oleh The Asset atas usahanya dalam menerima guna digitalisasi dan memahami keperluan pelanggan.

Anugerah itu mengiktiraf usaha transformasi digital berterusan bank tersebut bagi pelanggannya, terutama dalam tempoh setahun yang dipengaruhi kesan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Stuart Milne berkata, anugerah itu membuktikan tumpuan dan keazaman pihaknya untuk menjadi bank digital pertama yang menawarkan perkhidmatan gabungan dengan sokongan langsung kepada pelanggan apabila mereka memerlukan.

"Kami komited untuk memanfaatkan inovasi dan melabur dalam pemudahan proses serta mendigitalkan penyelesaian kami untuk memberi manfaat kepada pelanggan," katanya.

Menurut kenyataan itu, susulan pandemik Covid-19, HSBC Malaysia dengan pantas memperkenalkan ciri-ciri digital dan inovatif.

Langkah itu membolehkan pelanggan mudah menyesuaikan diri dengan perubahan dan melakukan urusan perbankan dalam talian runcit yang lancar selain menikmati pengalaman pembayaran secara digital, jelasnya.

Bank itu, mempercepat pelaksanaan pembayaran tanpa sentuh menerusi DuitNow QR bagi satu daripada hospital terbesar di Malaysia semasa pandemik, menyediakan penyelesaian pengumpulan sehenti yang mudah bagi beberapa pelanggan melalui platform Omni Channel serta meningkatkan kecekapan operasi dan kewangan.

HSBC Malaysia juga menerima anugerah itu bagi kategori Pengalaman Perbankan Dalam Talian Runcit Terbaik dan Pengalaman Pembayaran Digital Runcit Terbaik di Malaysia.

Anugerah Triple A oleh The Asset – Asset Publishing and Research Ltd – itu diberikan setiap tahun untuk mengiktiraf institusi kewangan dan firma teknologi yang cemerlang dalam usaha inovasi dan membangunkan pengalaman digital yang unik untuk pelanggan di seluruh Asia-Pasifik dan Timur Tengah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 7:00 AM